Trump ‘Isytihar’ Dirinya Pemangku Presiden Venezuela

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencetuskan kontroversi baharu apabila memuat naik satu tangkap layar di platform media sosial miliknya, Truth Social, yang mendakwa dirinya sebagai Pemangku Presiden Venezuela.

Tangkap layar tersebut, yang diubah suai menyerupai paparan biografi Wikipedia, menyatakan Trump memegang jawatan Pemangku Presiden Venezuela bermula Januari 2026, selain kekal sebagai Presiden AS. Dakwaan itu dibuat susulan laporan bahawa pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, ditahan oleh tentera AS, sekali gus mendorong Trump mendakwa kepimpinan AS di bawah pentadbirannya kini mengawal keadaan di negara Amerika Latin berkenaan, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Bagaimanapun, secara rasmi jawatan Pemangku Presiden Venezuela pada masa ini disandang oleh Delcy Rodriguez, dan tiada sebarang pengesahan antarabangsa atau perundangan yang menyokong dakwaan Trump tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump turut menyentuh isu berbeza apabila mendakwa tidak mengetahui mengenai tindakan Jabatan Kehakiman AS yang didakwa mengancam untuk mengenakan pertuduhan jenayah terhadap Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell.

Sebelum ini, Powell mendedahkan bahawa beliau diancam dengan pendakwaan jenayah susulan keterangannya di Senat berkaitan projek jangka panjang pengubahsuaian bangunan bersejarah Rizab Persekutuan. Powell menyifatkan ancaman itu sebagai satu bentuk tekanan daripada pentadbiran semasa.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenainya, tetapi beliau memang tidak begitu mahir di Fed dan juga tidak mahir dalam pembinaan bangunan,” kata Trump seperti dipetik NBC.

Trump sebelum ini beberapa kali mengkritik Powell kerana didakwa lambat menurunkan kadar faedah, malah pernah membayangkan kemungkinan untuk memecat Pengerusi Fed itu. Beliau turut mendakwa keputusan Powell telah merugikan AS sehingga trilion dolar dan menyifatkan projek pengubahsuaian Rizab Persekutuan sebagai antara yang paling tidak cekap serta berunsur korup dalam sejarah. – DRC

Artikel Berkaitan

Artikel Popular