Terima Kasih Uqasha – Kamal Adli Hargai Ruang Bersama Anak

KUALA LUMPUR – Selepas lebih dua minggu terpisah, pelakon Kamal Adli akhirnya dapat menatap dan meluangkan masa bersama anak perempuannya, Hawra Uqaira, momen yang disifatkannya sebagai amat bermakna walaupun singkat.

Kamal mengakui pertemuan selama beberapa jam itu sudah cukup untuk mengubat rindu seorang bapa yang lama menahan perasaan sejak perpisahannya dengan bekas isteri, Uqasha Senrose.

“Hari ini saya sempat jumpa Hawra sebelum datang ke sini. Sebab itu saya lambat sedikit. Saya luangkan masa bermain dengannya. Rasa sangat seronok selepas beberapa minggu tidak berjumpa,” katanya.

Kamal ditemui ketika menghadiri Pertunjukan Fesyen Jakel Raya 2026 dan pengumuman Duta Paling Mega Jakel di Jakel Mall, hari ini.

Ucap Terima Kasih Buat Uqasha

Dalam nada matang dan tenang, Kamal turut menzahirkan penghargaan kepada Uqasha kerana memberi ruang kepadanya untuk bersama anak mereka, meskipun hubungan suami isteri sudah berakhir.

“Saya nak ucap terima kasih kepada Uqasha kerana beri peluang untuk saya bersama anak. Hari ini memang hari yang menggembirakan,” ujarnya.

Menurut Kamal, dia meluangkan masa bersama Hawra dari pukul 2 petang hingga 5.30 petang, satu tempoh yang cukup berharga baginya.

Jumpa Di Bawah Rumah, Demi Kesihatan Anak

Bagaimanapun, pertemuan tersebut hanya diadakan di kawasan bawah kediaman Uqasha kerana keadaan kesihatan Hawra yang kurang sihat dan dipercayai menunjukkan tanda-tanda awal cacar air.

“Saya hanya bermain di bawah. Saya tengok dia macam nak kena ‘chicken pox’, jadi saya tak bawa ke taman permainan,” katanya.

Keputusan itu jelas memperlihatkan keutamaan Kamal sebagai seorang bapa yang mengutamakan keselamatan dan kesihatan anak, walaupun rindu yang dipendam terlalu lama.

Setiap Peluang Akan Digunakan

Kamal menegaskan, setiap kali mempunyai masa terluang, dia akan sedaya upaya memastikan hubungannya dengan Hawra terus terjalin.

“Setiap kali saya turun ke Kuala Lumpur, saya akan jumpa anak dulu sebelum ke lokasi penggambaran. Itu keutamaan saya sekarang,” katanya.

Dalam masa sama, Kamal turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan kata semangat kepadanya di media sosial.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan beri kata-kata semangat supaya saya terus kuat,” katanya.

Rumah Tangga Berakhir, Tanggungjawab Kekal

Untuk rekod, Kamal Adli dan Uqasha Senrose sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Isnin lalu. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, kini berusia setahun lapan bulan.

Walaupun episod rumah tangga mereka sudah berakhir, kisah seorang bapa yang berjuang untuk terus dekat dengan anaknya jelas masih berjalan panjang.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular