Tak Tahan Lagi! Janna Nick Dedah Apa Jadi Di Belakang Set, Ketika Aqish Masih Kecil

Pelakon dan pengacara Janna Nick tampil memberikan respon terbuka terhadap kenyataan yang ditulis oleh Puteri Balqis serta ibunya, Norashikin Mohd Aziz, menerusi beberapa hantaran di Instagram baru-baru ini.

Menerusi satu perkongsian, Janna secara langsung menandakan akaun Puteri Balqis dan mempersoalkan apakah sebenarnya isu yang timbul antara mereka.

“Boleh tahu apa isu awak dengan saya?” tulis Janna, sambil menyatakan kesediaannya untuk bersemuka secara dalam talian meskipun kini berada di London.

Dalam kenyataan sama, Janna turut mengimbas kembali pengalaman mereka berlakon bersama ketika Puteri Balqis masih kecil. Beliau mendakwa pernah berdepan pengalaman traumatik apabila menyaksikan individu yang mempunyai kaitan dengan Balqis tidur dalam keadaan tidak senonoh di dalam sebuah bilik ketika beliau ingin menunaikan solat, namun menegaskan individu tersebut bukan ibu Puteri Balqis.

Selain itu, Janna meluahkan rasa tidak selesa terhadap dakwaan penggunaan Balqis untuk menjana pendapatan ketika masih kanak-kanak dan mengakui berasa sedih melihat situasi tersebut. Beliau turut mendakwa pernah mengajak keluarga Balqis makan bersama, namun undangan itu tidak disambut.

Perkongsian paling mengejutkan apabila Janna mendakwa dirinya pernah diburukkan oleh ibu Puteri Balqis dalam satu kumpulan WhatsApp selebriti selepas penggambaran mereka tamat. Dakwaan itu, menurut Janna, dimaklumkan sendiri oleh pengarah Michael Ang, dan kesannya menyebabkan beliau dipulaukan dalam kalangan rakan selebriti selama beberapa tahun.

“Sejak itu, saya dipulaukan oleh sahabat selebriti ibu awak selama bertahun-tahun,” dakwanya.

Walaupun berkongsi pengalaman pahit, Janna tetap memuji dedikasi Puteri Balqis sebagai pelakon cilik, termasuk mengingati bagaimana Balqis membawa patung Darth Vader ke set penggambaran serta menunjukkan komitmen tinggi terhadap kerjaya lakonan.

Dalam penjelasan lanjut, Janna menegaskan bahawa hantaran asalnya di Threads sebelum ini bersifat umum dan tidak bertujuan untuk membela Mia Sara Nasuha. Beliau turut menyatakan sedang berusaha melepaskan dendam lama serta berharap Puteri Balqis dapat menemui ketenangan dan kedamaian dalam hidupnya.

Setakat ini, Puteri Balqis dan ibunya belum mengeluarkan kenyataan balas terhadap respon terbaharu yang dibuat oleh Janna Nick.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular