KUALA LUMPUR – Gelaran Syed dan Syarifah yang sering dikaitkan dengan keturunan Rasulullah SAW tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berbangga diri atau merendahkan keturunan lain, sebaliknya perlu difahami dalam kerangka akidah dan adab Islam yang sebenar.
Memetik penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahlul Bait menurut pegangan Ahli Sunnah merangkumi isteri-isteri Rasulullah SAW, anak menantu serta kaum kerabat Baginda daripada keturunan Bani Hashim dan Bani Muttalib. Seseorang yang mempunyai bukti susur galur hingga kepada Rasulullah SAW berhak dianggap sebagai Ahlul Bait walaupun tidak menggunakan gelaran Syed atau Syarifah.
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus turut menegaskan bahawa pengiktirafan terhadap keturunan Rasulullah SAW adalah hakikat sejarah Islam, namun Islam sama sekali tidak membenarkan seseorang menganggap dirinya lebih mulia semata-mata kerana keturunan.
Menurut beliau, Allah SWT menciptakan manusia dalam pelbagai bangsa dan keturunan bukan untuk dibanggakan, tetapi untuk saling mengenali. Justeru, menjadikan gelaran seperti Syed, Syarifah, Tengku atau Wan sebagai alasan menolak perkahwinan atau memandang rendah orang lain tanpa sandaran al-Quran dan hadis adalah bercanggah dengan prinsip Islam.
Islam menegaskan bahawa kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT ditentukan oleh takwa, bukan keturunan. Namun, kemuliaan Rasulullah SAW sebagai rahmatan lil ‘alamin adalah ketetapan Allah dan wajib dihormati oleh seluruh umat Islam.

