“Saya Tak Benci Awak & Tak ‘Backup’ Pembuli” – Janna Nick Hantar Ke Aqish

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Janna Nick, tampil secara terbuka memohon maaf kepada pelakon remaja Puteri Balqis susulan kenyataannya sebelum ini di media sosial yang mencetuskan salah faham dan perbalahan antara mereka.

Menerusi beberapa hantaran di Instagram Story, Janna atau nama penuhnya Nurul Jannah Muner menegaskan bahawa dia tidak pernah membenci Puteri Balqis dan sama sekali tidak menyokong sebarang bentuk pembulian, seperti yang didakwa sebelum ini.

“Saya tak suka bila awak anggap saya tak suka awak dan ‘backup’ pembuli. Saya tak benci awak dan saya tak pernah sokong pembuli,” tulisnya.

Dalam pada itu, Janna turut menyatakan kesediaannya untuk berjumpa secara bersemuka bagi menjernihkan keadaan, namun menghormati sekiranya Puteri Balqis tidak berhasrat berbuat demikian. Janna juga mengakui kesilapannya berkaitan kenyataan terdahulu yang ditulis di aplikasi Threads, yang dikatakan menjadi punca tercetusnya konflik tersebut.

“Andai kata memang tak sudi jumpa, tak mengapa. Saya minta maaf atas salah laku saya sepanjang kita pernah bekerjasama dahulu,” katanya lagi.

Selain memohon maaf kepada Puteri Balqis, Janna turut menzahirkan doa agar pelakon itu terus dikurniakan rezeki dan kekuatan untuk menjaga ibunya, selain berharap semua pihak yang terkesan dengan konflik berkenaan diberikan ketenangan dan kesembuhan emosi.

“Saya minta maaf jika tulisan saya sebelum ini menjadi punca perbalahan. Saya salah. Saya doakan semua yang ada rasa dendam, amarah dan trauma diberi kesembuhan serta dilapangkan dada,” katanya.

Terdahulu, nama Janna Nick menjadi perhatian selepas kenyataannya di media sosial dikaitkan dengan pertikaian antara Puteri Balqis dan seorang lagi pelakon, sekali gus mencetuskan reaksi balas daripada Balqis serta keluarganya. Permohonan maaf terbuka itu dilihat sebagai usaha Janna untuk meredakan keadaan dan menamatkan polemik yang berlarutan di media sosial.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular