Rumah Terbengkalai Diselamatkan! Kerajaan MADANI ‘Beri Nyawa’ Kepada 167,423 Unit

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,399 projek perumahan swasta yang sebelum ini dikenal pasti sebagai sakit dan terbengkalai berjaya dipulihkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), melibatkan 167,423 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) mencecah RM133.78 bilion.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu, berkata kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam melindungi hak pembeli rumah serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Menurut beliau, pemulihan projek berkenaan dilaksanakan melalui pemantauan rapi dan kerjasama strategik Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) bersama Pihak Berkuasa Tempatan, agensi teknikal, penyedia utiliti serta pemaju perumahan.

“Sehingga 31 Disember 2025, jumlah projek perumahan terbengkalai menunjukkan trend penurunan yang konsisten. Ini membuktikan keberkesanan pendekatan intervensi bersasar yang diambil KPKT bagi memastikan projek dapat disiapkan dan diserahkan kepada pembeli,” katanya dalam satu sidang media.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Haji Zulkeflee Sulaiman serta Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Dr. Tan Awang Besar.

KPKT menegaskan pihaknya akan terus memperkukuh mekanisme pemantauan awal dan tindakan intervensi bagi merealisasikan sasaran sifar projek perumahan terbengkalai menjelang tahun 2030, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat. – DRC

Artikel Berkaitan

Artikel Popular