ROMPIN — Dianggarkan seramai 1.5 juta warga Indonesia bekerja secara sah di Malaysia, manakala kira-kira 1.2 juta lagi dipercayai bekerja atau menetap tanpa dokumen, sekali gus menyingkap sisi gelap penghijrahan tenaga kerja serantau yang terus berlarutan.
Aktivis sosial Malaysia–Indonesia, Kamarulzaman Zainal Abidin, 65, berkata golongan tanpa dokumen berdepan risiko tinggi termasuk tindakan penguatkuasaan yang boleh memusnahkan masa depan mereka serta keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan dari Malaysia.
Menurutnya, kebanyakan warga Indonesia tanpa dokumen bekerja dalam keadaan tertekan dan hidup dalam ketakutan berterusan akibat kemungkinan ditahan pihak berkuasa. Keadaan itu bertambah buruk apabila mereka berurusan dengan orang tengah atau calo yang sering mengambil kesempatan, mengenakan bayaran tinggi dan memberi janji palsu.
“Risiko bekerja secara tidak sah sangat besar. Baru-baru ini, satu operasi besar-besaran di Kuala Lumpur menyaksikan hampir 350 warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia, termasuk kanak-kanak kecil yang tidak memahami situasi sebenar,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kamarulzaman berkata, ramai antara mereka yang ditahan telah menetap di Malaysia lebih 15 tahun, mempunyai pekerjaan tetap dan mampu mengirim sekitar RM1,500 sebulan kepada keluarga di Indonesia. Namun, penahanan secara tiba-tiba menyebabkan sumber pendapatan keluarga terputus serta-merta.
“Mereka akan ditempatkan di pusat tahanan imigresen antara tiga hingga enam bulan sebelum dihantar pulang. Tempoh ini sangat menekan emosi, bukan sahaja kepada individu terbabit tetapi juga keluarga di kampung halaman,” katanya.
Beliau menambah, kepulangan tanpa simpanan sering menyebabkan rasa malu, tekanan psikologi dan kesukaran untuk memulakan kehidupan baharu di negara asal. Justeru, beliau menggesa warga Indonesia agar mengelakkan berurusan dengan calo dan memilih saluran rasmi bagi menguruskan dokumentasi pekerjaan.
“Semua kos rasmi dipaparkan di pejabat imigresen. Datang sendiri ke kaunter dan uruskan melalui cara sah. Jangan terus hidup dalam ketakutan dan dieksploitasi,” katanya.
Kamarulzaman turut menasihatkan warga Indonesia yang diarahkan pulang supaya berbuat demikian melalui saluran sah dan bermaruah demi keselamatan diri, anak-anak serta masa depan keluarga.
“Saya berharap nasihat ini membuka mata agar mereka tidak terus terperangkap dalam kehidupan tanpa dokumen, sebaliknya memilih jalan yang sah demi maruah dan kelangsungan hidup keluarga di kampung halaman,” katanya.

