SHAH ALAM: Kelemahan literasi kewangan dikenal pasti sebagai antara faktor utama menyebabkan sebahagian guru terjerumus dalam masalah hutang serius sehingga berdepan risiko kebankrapan, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata keadaan itu diburukkan dengan kelonggaran sistem kelulusan pinjaman yang membolehkan guru membuat pinjaman tambahan walaupun tahap komitmen kewangan mereka sudah melepasi had selamat.
Menurut beliau, walaupun potongan gaji melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dihadkan kepada maksimum 60 peratus, masih wujud institusi kewangan yang meluluskan pinjaman di luar sistem tersebut melalui potongan terus daripada akaun bank.
“Situasi ini membuka ruang kepada guru mengambil pinjaman berganda walaupun kemampuan sebenar mereka telah melepasi had selamat, sekali gus meningkatkan risiko hutang berpanjangan dan kebankrapan,” katanya seperti dilaporkan oleh pihak media.
Sehubungan itu, Fouzi mencadangkan ketua jabatan dan bahagian sumber manusia memainkan peranan lebih aktif memantau kedudukan kewangan warga pendidik sebelum memberikan sebarang pengesahan pinjaman, bagi mengelakkan kewujudan pinjaman tersembunyi yang tidak dipaparkan dalam slip gaji.
Sebelum ini, Selangor dilaporkan mencatatkan jumlah kes kebankrapan tertinggi di negara ini, dengan golongan guru antara penjawat awam paling ramai terlibat. Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia, Datuk Ishak Bakri memaklumkan antara punca utama kebankrapan ialah komitmen pinjaman peribadi yang tinggi, selain data Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) menunjukkan golongan berpendapatan tetap lebih terdedah kepada risiko tersebut.
Fouzi berkata, minat sesetengah guru dalam bidang perniagaan dan pelaburan tanpa pengetahuan kewangan mencukupi turut menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan skim pinjaman atau pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.
Beliau turut merujuk kes penipuan pinjaman melibatkan platform pendidikan kewangan CSA Academy yang disifatkan sebagai kes terbesar pernah dikendalikan NUTP, membabitkan kira-kira 1,700 guru di seluruh negara. Sebahagian besar mangsa didakwa menanggung hutang melebihi RM100,000 seorang, termasuk pasangan suami isteri guru.
“Skim ini menjanjikan penyelesaian hutang dan pulangan bulanan tinggi dengan syarat membuat pinjaman baharu. Pada awalnya ada bayaran, tetapi akhirnya skim gagal dan meninggalkan hutang berganda,” katanya sambil memaklumkan kes berkenaan telah diambil tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain itu, beliau berkata terdapat juga guru terjerat hutang akibat menjadi penjamin, dipujuk pasangan membuat pinjaman atau membeli aset di luar kemampuan sebenar.
Keadaan tersebut bukan sahaja menjejaskan kewangan, malah memberi kesan emosi serius termasuk tekanan mental, konflik keluarga, gangguan tidur dan penurunan motivasi kerja, yang akhirnya boleh mencalar imej profesion perguruan.
Fouzi menegaskan gaji guru sebenarnya mencukupi untuk keperluan asas jika diurus dengan baik, dengan guru DG41 atau DG9 baharu menerima sekitar RM3,200 hingga RM3,500 sebulan termasuk elaun.
Bagi membantu guru terjejas, NUTP bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi menyusun semula pinjaman supaya guru masih mempunyai sekurang-kurangnya 40 peratus pendapatan bersih, selain menekankan keperluan sokongan psikologi kepada mereka yang terkesan.

