Pelakon Puteri Balqis sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil menyelar tindakan aktres dan pengacara Janna Nick menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya baru-baru ini.
Menerusi perkongsian tersebut, Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish memberi peringatan kepada Janna mengenai kesan emosi dan trauma yang dialami seseorang apabila berdepan kecaman serta hinaan berulang.
Menurut Aqish, kata-kata yang dilontarkan secara terbuka bukan perkara kecil kerana ia boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap maruah dan kesihatan mental seseorang.
“Kalau saya makikan akak Janna hari ini 20 kali, akak boleh ‘let go’ dan move on tak? Jawapannya tak. Sebab akak ada maruah yang perlu dipertahankan,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Aqish turut menyindir bahawa kecaman yang dilemparkan akan sentiasa segar dalam ingatan mangsa dan sukar dipadam, walaupun masa berlalu.

Beliau turut mendakwa Janna berpotensi menggunakan platform media sosial lain untuk meluahkan rasa tidak puas hati sekiranya perkara sama berlaku terhadap dirinya.
Sebelum ini, Janna Nick menerusi satu hantaran di Threads dilihat mengambil pendekatan neutral dengan menasihatkan agar tidak berdendam dan menyerahkan segala urusan kepada Yang Maha Esa.
Walaupun tidak menyebut mana-mana nama secara langsung, kenyataan tersebut dipercayai berkait dengan konflik melibatkan Puteri Balqis dan aktres Mia Sara Nasuha.
Susulan itu, ibu kepada Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz, turut tampil meminta Janna agar tidak mencampuri urusan keluarga mereka, selain menyifatkan kenyataan aktres berkenaan sebagai berat sebelah.
Setakat ini, Janna Nick masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi menjawab teguran terbuka yang dibuat oleh Puteri Balqis.

