PRU16: PN Tanpa PAS Ibarat Kereta Tanpa Enjin, Kata Penganalisis

KUALA LUMPUR – Jenama “Prihatin, Bersih, Stabil” (PN BEST) yang menjadi taruhan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kini dilihat semakin teruji menjelang PRU16, susulan krisis kepimpinan dan pergolakan dalaman yang berlarutan dalam gabungan pembangkang itu.

Pemerhati politik, Dr. Mukhtaruddin Musa berpandangan, realiti semasa menunjukkan PN sedang berdepan masalah struktur kuasa dan pusat kawalan yang kabur, sekali gus menghakis elemen ‘stabil’ yang menjadi teras utama jenama PN BEST.

Menurut beliau, peletakan jawatan Pengerusi PN hujung Disember 2025 yang berkuat kuasa 1 Januari 2026, diikuti peletakan jawatan Setiausaha Agung PN, telah menukar isu kepimpinan daripada soal dalaman kepada krisis strategik yang diperhatikan rakyat dan pengundi atas pagar.

“Ketiadaan kepimpinan baharu yang jelas serta persepsi Bersatu melengah-lengahkan penyelesaian melalui pendekatan tarik tali boleh menjejaskan keyakinan pengundi terhadap kemampuan PN mentadbir negara,” katanya.

Keadaan menjadi lebih sensitif apabila pertemuan presiden-presiden parti komponen PN di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Januari 2026 berlangsung tanpa kehadiran Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Perkembangan itu mencetuskan spekulasi sama ada PN mampu bergerak tanpa PAS, parti terbesar dalam gabungan tersebut dari segi kerusi Parlimen dan kekuatan jentera akar umbi.

Berdasarkan rekod pilihan raya, PAS memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU15 berbanding Bersatu dengan 31 kerusi, manakala parti komponen lain seperti Gerakan dan MIPP gagal memperoleh sebarang kerusi. Statistik ini, menurut Dr. Mukhtaruddin, menunjukkan PAS berperanan sebagai ‘enjin’ utama jentera PN, manakala keupayaan PN tanpa PAS untuk menang besar masih belum teruji.

“PN tanpa PAS ibarat kereta tanpa enjin, manakala PAS tanpa pakatan pula seperti enjin kuat tetapi jalan rayanya sempit. Kedua-duanya ada kos jika berpisah,” jelas beliau.

Tambahnya, jika PN mahu kekal relevan dan mengekalkan jenama PN BEST, gabungan itu perlu segera menyelesaikan isu pusat arahan, mekanisme membuat keputusan serta disiplin gabungan secara meyakinkan sebelum PRU16.

Sebaliknya, jika PAS memilih laluan solo, parti itu juga perlu menjawab persoalan keupayaan untuk meluaskan sokongan di kawasan bandar dan campuran tanpa payung pakatan nasional.

Kesimpulannya, krisis dalaman PN bukan sekadar konflik kepimpinan, tetapi ujian besar terhadap kredibiliti gabungan itu sebagai alternatif kerajaan. Kegagalan menanganinya secara tuntas berisiko menjejaskan peluang PN menawan Putrajaya pada PRU16.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular