PMX Seru Generasi Muda Hargai P. Ramlee, Ikon Seni Sepanjang Zaman

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap masyarakat, khususnya generasi muda, terus menghargai serta memelihara warisan seni dan sumbangan besar Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menjadi tonggak penting dalam industri hiburan negara.

Menurut Anwar, karya-karya P. Ramlee bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya mencerminkan nilai, budaya dan identiti seni Malaysia yang merentas zaman.

Beliau berkata, seniman tersohor itu turut mengajar masyarakat tentang erti kreativiti, keikhlasan dan dedikasi dalam berkarya, selain kekal menjadi sumber inspirasi kepada penggiat seni serta rakyat keseluruhannya.

“Malam tadi, saya berkesempatan menonton Konsert Live P. Ramlee ‘Madu Tiga’ di Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) hasil pimpinan konduktor hebat, Ahmad Muriz Che Rose bersama pasukan yang begitu berdedikasi dan profesional dalam menyampaikan persembahan muzik yang mengagumkan.

“Semoga generasi masa kini terus menghargai dan memelihara warisan seni ini serta sentiasa mengenang sumbangan besar Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam industri hiburan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Konsert Live P. Ramlee “Madu Tiga” yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, menampilkan tayangan filem komedi klasik arahan P. Ramlee itu yang diiringi persembahan muzik secara langsung oleh MPO.

Persembahan ini merupakan kali kedua MPO mengiringi tayangan filem tempatan secara langsung selepas kejayaan konsert filem OlaBola pada 2017, sekali gus membuktikan karya klasik tempatan mampu diangkat ke pentas muzik bertaraf antarabangsa.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular