KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha mengangkat martabat negara melalui sektor pelancongan tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak termasuk sektor awam, swasta, industri pelancongan, syarikat serta masyarakat.
Beliau berkata, pelancongan merupakan antara teras penting pembangunan negara yang menuntut sikap positif, layanan mesra serta kesediaan untuk mencipta tarikan baharu bagi menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Sebab itu kita harus pastikan semua aspek kegiatan kita, termasuk pelancongan, memerlukan penyertaan semua. Sikap kita, senyuman kita, kerja kita dan kesediaan mengolah tarikan baharu amat penting untuk mengangkat martabat negara,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika melancarkan Cerita Malaysia Kita sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di Surf Beach, Sunway Lagoon, pada Jumaat.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia memiliki potensi besar untuk muncul sebagai destinasi pelancongan unggul berikutan petunjuk pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan, namun cabaran semasa perlu ditangani secara kolektif.
“Negara boleh maju dan terserlah sebagai negara hebat, tetapi juga boleh mendatar atau merosot. Rakyat telah memilih untuk maju dan berjaya, dan itu menuntut usaha bersama,” katanya.
Beliau menekankan bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui semangat berpasukan, sokongan antara satu sama lain serta usaha mengurangkan perbalahan dan sentimen kebencian berasaskan kaum dan agama.
Pada majlis yang dianjurkan bersama Sunway Theme Parks dan Westar Group itu, Anwar turut melancarkan dua inisiatif utama iaitu koleksi khas Sunway Tiny Toys yang mengetengahkan ikon harian Malaysia sebagai cenderamata berinspirasikan warisan, serta Malaysia Attraction Passport (MAP) yang bertujuan menggalakkan penerokaan pelancongan domestik melalui pengalaman interaktif di tarikan mesra keluarga.
Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.
Selain itu, satu sesi khas di Bernama Mobile Studio turut menampilkan temu bual bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Theme Parks, Calvin Ho, yang mengupas hala tuju strategik industri pelancongan dan inovasi negara menjelang TMM2026.

