Penilaian Tahun Empat Untuk Kesan Awal Kelemahan Membaca, Menulis dan Mengira – PMX

BUTTERWORTH — Pelaksanaan penilaian asas pada Tahun Empat di bawah Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 bertujuan mengenal pasti kelemahan murid dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira lebih awal bagi membolehkan intervensi serta pemulihan dilaksanakan secara berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu lebih praktikal berbanding hanya bergantung kepada penilaian di Tahun Enam, kerana kelemahan murid perlu dikesan dan ditangani sebelum mereka melangkah ke peringkat sekolah menengah.

“Penilaian awal ini penting supaya kelemahan dapat dikenal pasti lebih awal dan intervensi boleh dibuat segera. Kita tidak mahu masalah asas ini hanya disedari apabila murid sudah berada di penghujung sekolah rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran blok baharu Hospital Seberang Jaya di Perai, hari ini.

Anwar menegaskan bahawa RPN 2026–2035 dirangka bagi meningkatkan mutu pendidikan negara secara menyeluruh, dengan penekanan kepada pembentukan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, termasuk dalam bidang teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).

Menurut beliau, sistem pendidikan tidak boleh lagi berfungsi secara reaktif, sebaliknya perlu berasaskan data dan penilaian awal agar setiap murid menerima sokongan mengikut keperluan masing-masing.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh cadangan penyegerakan kemasukan prasekolah seawal usia lima tahun sebagai langkah persediaan sebelum kanak-kanak memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun.

Katanya, kerajaan menyediakan kemudahan prasekolah secara percuma di sekolah-sekolah bagi memastikan semua murid memperoleh asas pendidikan yang mencukupi sejak awal, tanpa mengira latar belakang keluarga.

Beliau turut menegaskan bahawa isu pendidikan tidak wajar terus dipolemikkan dengan perkara yang boleh memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya fokus perlu diberikan kepada kualiti pembelajaran dan pembinaan nilai insan.

Menurut Anwar, kerajaan bersedia memberi ruang kepada pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah agama, sekolah antarabangsa dan aliran bahasa, dengan syarat pelajar menguasai Bahasa Melayu serta memahami sejarah Malaysia sebagai asas perpaduan nasional.

“Pendekatan inklusif ini penting supaya sistem pendidikan kita adil dan saksama, memberi peluang kepada semua, namun tetap berpaksikan identiti kebangsaan dan nilai kemanusiaan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan bukan sahaja perlu melahirkan generasi yang menguasai teknologi dan kemahiran baharu, malah insan yang berakhlak, saling menghormati dan mampu hidup dalam masyarakat majmuk secara harmoni.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular