KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan seni persilatan Melayu perlu terus diperkasa sebagai benteng jati diri bangsa dan wahana pembinaan insan berakhlak, berdisiplin serta berjiwa kepimpinan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Beliau berkata, silat bukan sekadar seni mempertahankan diri atau pertandingan fizikal, sebaliknya berperanan sebagai madrasah pembentukan insan yang menanam nilai kesabaran, kebijaksanaan, keberanian serta ketegasan berpaksikan adab dan ihsan.
“Sejak berabad lamanya, silat mendidik kita agar tenang menghadapi cabaran, bijaksana mengawal emosi dan menjunjung persaudaraan sebagai teras kekuatan. Inilah falsafah peradaban Melayu yang menolak kegopohan dan meletakkan akhlak sebagai asas kepimpinan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menghadiri Himpunan Gema Pendekar MADANI Zon Utara 2026 serta Kejuaraan Silat Terbuka Piala Pendekar Utama Negara Dato’ Dr. Raja Abdul Majid, yang menghimpunkan pesilat dari seluruh negara.
Menurut beliau, penglibatan golongan belia dalam dunia persilatan wajar diperkasa secara berterusan, bukan hanya sebagai pewaris tradisi, tetapi sebagai generasi masa depan yang memahami disiplin, menghargai nilai kemanusiaan dan mampu mengangkat martabat budaya bangsa dalam landskap global yang semakin mencabar.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menegaskan konsep Pendekar MADANI membawa amanah besar dalam membentuk insan seimbang — menguasai ilmu dan teknologi baharu tanpa mengorbankan nilai, adab serta warisan peradaban Melayu.
“Pendekar MADANI ialah simbol penyatuan masyarakat, pembinaan jati diri dan pemerkasaan bangsa yang berpaksikan sejarah, akhlak dan peradaban,” katanya.
Beliau menambah, usaha memartabatkan seni persilatan selari dengan pendekatan Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan insan secara menyeluruh, merangkumi aspek intelektual, fizikal, emosi dan rohani demi melahirkan generasi berdaya saing serta berprinsip. – DRC

