Pelakon Sharifah Rose mengakui kecaman dan komen negatif yang diterimanya sejak lima tahun bergelar anak seni telah membentuk ketahanan mental serta mematangkan dirinya dalam industri hiburan yang penuh cabaran.
Pemilik nama penuh Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd. Mazfira, 28, berkata label sebagai “pelakon kayu” dan pelbagai kritikan pedas yang masih diterimanya sehingga hari ini tidak lagi menggugat emosinya seperti pada awal kemunculan dahulu.
Menurutnya, sikap tidak mudah melenting dan kemampuan menapis komen menjadi kunci utama untuk terus bertahan dalam dunia seni yang sering menjadi medan penilaian terbuka netizen.
“Saya terima komen yang membina untuk tambah baik kualiti kerja, tetapi perkara negatif seperti body shaming saya anggap sebagai gangguan kecil dan biarkan berlalu,” katanya.
Sharifah Rose mengakui pernah terkesan dengan kecaman pada peringkat awal, namun sentiasa mengingatkan dirinya tentang tujuan sebenar menceburi bidang lakonan agar tidak terperangkap dalam emosi negatif.
Beliau turut menyifatkan media sosial sebagai platform yang semakin mencabar dan “menyeramkan”, memandangkan sikap sesetengah pengguna yang mudah menyebarkan kebencian, hasad dengki serta perkara tidak benar.
Dalam masa sama, Sharifah Rose berkata beliau tidak pernah melihat kehadiran pelakon baharu sebagai saingan, sebaliknya percaya konsep rezeki dan persaingan sihat dalam industri.
“Saya sentiasa letakkan diri sebagai pelakon baharu dan belajar daripada orang lama. Setiap orang ada kelebihan masing-masing,” katanya.
Walaupun masih menerima kritikan, beliau menegaskan tidak pernah berhenti menambah baik mutu lakonan dengan menilai kembali setiap karya yang ditayangkan, selain bersyukur kerjaya seninya terus berjalan dengan baik.

