KUALA LUMPUR – Satu hantaran tular di aplikasi Threads mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen selepas seorang pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut terhadap dakwaan serius yang dikaitkan dengan seorang pelakon wanita yang dikenali sejak usia kanak-kanak.
Menerusi hantaran tersebut, individu berkenaan mempersoalkan dakwaan kononnya selebriti terbabit pernah menggugurkan kandungan, sekali gus mencetuskan reaksi emosi dan perbalahan dalam kalangan pengguna media sosial.

“Aku paham tak semestinya bertudung tu baik tapi MS gugurkan anak?? I mean gugurkan anak?? Hahh?? Bukan main dulu tolak job yang suruh bukak tudung,” tulis pengguna Threads itu.
Perkongsian berkenaan pantas mengundang pelbagai reaksi, dengan sebahagian netizen meluahkan rasa terkejut dan keliru, manakala ramai tampil mengecam kenyataan tersebut kerana disifatkan sebagai tuduhan berat tanpa sebarang bukti.
Dalam ruangan komen, terdapat pengguna yang mengingatkan bahawa dakwaan melibatkan isu pengguguran kandungan adalah sangat sensitif dan tidak boleh dibuat secara semberono kerana berpotensi menjurus kepada fitnah serta mencemarkan maruah individu.

Isu itu turut menjadi lebih hangat apabila segelintir netizen mula mengaitkan dakwaan berkenaan dengan penampilan, gaya hidup serta pergaulan selebriti tersebut, termasuk membuat perbandingan fizikal dan andaian peribadi yang mengundang kritikan balas daripada pengguna lain.
Ramai menegaskan bahawa imej luaran seperti pemakaian, keputusan menolak tawaran lakonan atau latar belakang kerjaya tidak boleh dijadikan asas untuk melemparkan tuduhan berat terhadap seseorang, lebih-lebih lagi tanpa pengesahan.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pelakon berkenaan bagi mengulas dakwaan yang tular di media sosial itu. Orang ramai turut dinasihatkan agar lebih berhemah dan tidak menyebarkan tuduhan tidak berasas yang boleh membawa implikasi undang-undang serta menjejaskan reputasi seseorang.

