JAKARTA – Model dan selebriti Indonesia, Manohara Odelia Pinot, mengejutkan ramai apabila tampil membuat pendedahan berani mengenai pengalaman traumatik yang didakwa dialaminya sejak kecil akibat perlakuan ibunya sendiri, Daisy Fajarina.
Menerusi beberapa perkongsian di Instagram Stories, Manohara mengakui sukar untuk memanggil wanita yang melahirkannya itu sebagai “ibu” berikutan layanan tidak berperikemanusiaan yang diterimanya sejak zaman kanak-kanak.
Menurut Manohara, beliau sering dilabel sebagai anak bermasalah dan “jahat”, sehingga ibunya percaya terdapat unsur negatif atau gangguan dalam dirinya. Susulan kepercayaan itu, Manohara mendakwa sering dibawa berjumpa bomoh dan pengamal ritual di beberapa lokasi termasuk Bogor dan Sukabumi.
Lebih mengejutkan, Manohara mendedahkan dirinya dipaksa menjalani pelbagai ritual yang menakutkan dan mengelirukan, antaranya meminum air ritual, mandi minyak serta amalan lain yang memberi kesan trauma berpanjangan hingga ke alam dewasa.
“Ibu saya telah lama terlibat secara mendalam dengan ilmu hitam. Daripada melayan saya seperti kanak-kanak yang mempunyai fikiran sendiri, dia percaya ada sesuatu yang jahat dalam diri saya,” katanya.
Tambah Manohara, pengalaman itu bukan sekadar meninggalkan luka emosi, malah memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mentalnya sehingga kini.
Dalam masa sama, Manohara menegaskan bahawa perlakuan ibunya langsung tidak berkaitan dengan ajaran Islam, sebaliknya bercanggah dengan prinsip agama tersebut.
“Apa yang ibu saya lakukan bukanlah mengenai Islam. Ilmu hitam jelas dilarang dalam Islam. Ini bukan isu agama, ini adalah penderaan kanak-kanak,” jelasnya.
Pendedahan itu turut menjelaskan sebab utama Manohara memilih untuk memutuskan hubungan dengan ibunya, selepas mendakwa mengalami penderaan fizikal serta manipulasi emosi secara berulang sejak usia remaja.
Perkongsian berani Manohara itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen, dengan ramai meluahkan simpati serta memuji keberaniannya membuka kisah silam yang selama ini disimpan rapat.

