KUALA LUMPUR: Saingan Liga Malaysia (Liga M) masih boleh diteruskan walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikenakan hukuman penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), namun pertandingan itu akan kehilangan nilai dan makna di peringkat antarabangsa.
Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul, berkata sekiranya penggantungan dikenakan, semua aktiviti bola sepak Malaysia hanya terhad dalam negara dan tidak melibatkan sebarang urusan dengan persatuan bola sepak luar.
“Jika FAM digantung, mereka tidak boleh berurusan dengan mana-mana persatuan bola sepak lain. Perlawanan persahabatan pasukan kebangsaan, sama ada peringkat umur atau senior, juga tidak boleh diadakan.
“Kelab yang mewakili Malaysia seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan lain-lain tidak dibenarkan beraksi di kejohanan antarabangsa termasuk Liga Juara-Juara Asia atau kejohanan ASEAN. Ini bermakna bola sepak hanya berjalan dalam Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas implikasi sekiranya hukuman penggantungan dikenakan terhadap FAM.
Untuk rekod, FAM sebelum ini mengesahkan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Windsor menegaskan penggantungan FIFA membawa kesan lebih luas, bukan sahaja kepada pasukan dan kelab, malah melibatkan pegawai perlawanan.
“Pengadil dan pegawai bola sepak juga tidak boleh terlibat dengan sebarang aktiviti di luar Malaysia. Ini adalah situasi yang sangat drastik dan tidak diingini oleh mana-mana negara,” katanya. – DRC

