“Kami Bersedia Disaman & Digari” – Puteri Balqis Tak Berganjak, Kontroversi Makin Panas

KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Balqis mendakwa dia dan ahli keluarganya berkemungkinan berdepan tindakan undang-undang susulan kontroversi yang sedang melibatkan dirinya dengan seorang rakan selebriti.

Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGS), Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish mendakwa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp yang memaklumkan kemungkinan saman akan dikenakan terhadap mereka atas alasan kekurangan bukti berhubung dakwaan yang dibuat sebelum ini.

“Melalui WhatsApp yang diterima, kami mungkin bakal disaman kerana kami tidak mempunyai bukti mencukupi,” tulisnya.

Aqish bagaimanapun menegaskan bahawa dia bersama keluarganya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk tindakan saman atau implikasi undang-undang lain yang mungkin timbul.

“Kami berempat bersedia. Bersedia untuk disaman, dipenjara atau apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku,” katanya.

Difahamkan, istilah ‘kami’ yang digunakan merujuk kepada dirinya, ibu, bapa tiri serta tunangnya.

Dalam hantaran sama, Aqish turut menegaskan pendirian keluarga mereka untuk berdepan isu tersebut secara bersama dan tidak membiarkan ibunya berhadapan tindakan undang-undang seorang diri.

“Untuk kali ini, tidak akan ada seorang pun dari keluarga kami yang membenarkan ibu disaman atau digari seorang diri. Kami berempat akan sama-sama tempuh,” katanya.

Sebelum ini, Puteri Balqis mendakwa aktres Mia Sara Nasuha pernah mengaib dan menghina ibunya, Norashikin Mohd Aziz, sehingga memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental wanita berkenaan.

Aqish turut mendakwa pernah berlaku insiden membabitkan perbuatan membuli di set penggambaran beberapa tahun lalu, selain mendakwa dirinya pernah diketepikan ketika mahu bergambar bersama peminat kerana dianggap kurang dikenali pada ketika itu.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak yang terlibat bagi menjawab dakwaan tersebut. Isu berkenaan terus menjadi perhatian netizen dan mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular