KUALA LUMPUR – Kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin yang mencadangkan parti itu bergerak secara solo sekiranya kemelut kepimpinan Perikatan Nasional (PN) berlarutan perlu diteliti secara rasional, matang dan berpandangan jauh, bukan ditanggapi secara emosi atau sentimen kepartian sempit.
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, penegasan tersebut bukan berbentuk ancaman atau ultimatum politik, sebaliknya satu isyarat jelas bahawa krisis dalaman PN tidak boleh dibiarkan berpanjangan tanpa hala tuju yang tuntas.
Menurutnya, PN dibentuk atas asas kepercayaan, kejelasan struktur dan kesepakatan kepimpinan, namun isu pelantikan Pengerusi PN yang berlarutan serta pembatalan mesyuarat rasmi mencetuskan persoalan serius terhadap tadbir urus gabungan itu.
“Apabila keputusan besar cuba diselesaikan melalui platform yang tidak berperlembagaan, maka wajar ada pihak mengingatkan bahawa pakatan tidak boleh diurus mengikut kehendak individu atau manuver kuasa peribadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohamed Sukri menegaskan bahawa cadangan agar PAS bergerak solo bukan lambang keangkuhan atau usaha memutuskan silaturahim politik, sebaliknya satu pilihan realistik dan berprinsip berdasarkan kekuatan parti itu sendiri.
Beliau berkata, PAS memiliki jentera akar umbi yang tersusun, kepimpinan stabil serta rekod pentadbiran di empat negeri yang memberi keyakinan untuk berdiri dengan kekuatan sendiri sekiranya perlu.
Tambahnya, prinsip kepimpinan Islam yang ditekankan PAS meletakkan jawatan sebagai amanah, bukan sekadar kedudukan atau rundingan kuasa.
“Kriteria takut kepada Allah, beramal dengan syariat, bersedia untuk akhirat dan reda dengan rezeki merupakan neraca kepimpinan yang lebih tinggi berbanding sokongan politik semata-mata,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan PAS tidak pernah menutup ruang kerjasama politik dan masih terbuka untuk terus bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia sekiranya kemelut PN dapat diselesaikan secara jujur dan berlandaskan perlembagaan gabungan.
Namun, katanya, sebarang kerjasama mesti berteraskan kejelasan peranan, kejujuran dan penghormatan terhadap struktur sedia ada, bukan melalui helah penstrukturan yang mengelirukan.
Sebelum ini, Hashim Jasin menegaskan isu pelantikan Pengerusi PN yang baharu – dengan PAS sebagai peneraju – perlu diselesaikan segera, sambil memberi bayangan bahawa PAS bersedia bergerak solo jika kebuntuan terus berlarutan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16.

