KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menegaskan beliau tidak pernah berputus asa dalam memerangi rasuah meskipun berdepan tekanan hebat dan cabaran berpanjangan sepanjang mengetuai agensi penguatkuasaan itu.
Azam mengakui bisikan untuk menyerah kalah sentiasa wujud, namun prinsip hidup dan kekuatan mental menjadi benteng utama untuk terus kekal teguh dalam melaksanakan amanah memerangi rasuah.
“Ada yang menyuruh saya berundur, tetapi persoalannya adakah kita sendiri mahu mengalah? Saya tidak pernah mengalah, insya-Allah,” katanya menerusi temu bual eksklusif Podcast Kolar Hitam bertajuk ‘Azam 2026 Membawa SPRM Berani & Radikal’ yang disiarkan di saluran YouTube SPRM, pada Jumaat.
Beliau menegaskan bahawa wang yang dicuri melalui jenayah rasuah, penipuan, skim cepat kaya serta aktiviti haram termasuk narkotik sebenarnya adalah wang milik rakyat yang perlu dirampas semula.
“Jika mereka mencuri wang itu, kami akan ‘mencurinya’ semula. Saya pernah menyatakan sebelum ini, kalau boleh saya nak bankrapkan penjenayah ini,” tegasnya.
Menurut Azam, keupayaan seorang ketua mengurus tekanan amat penting kerana kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan keseluruhan organisasi.
“KP kena sihat, kena kuat. Kalau ketua sendiri tak boleh urus tekanan, organisasi akan jadi huru-hara,” katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa SPRM kini berada di landasan yang betul.
Mengulas soal penggantinya kelak, Azam berharap jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM akan terus diisi oleh pegawai daripada kalangan warga SPRM sendiri.
“Kami lebih memahami agensi ini. Tetapi jika pegawai kita sendiri tidak melengkapkan diri dengan ilmu dan persediaan, pihak luar akan memandang rendah kepada kita,” katanya.

