Isu Babi: Kerajaan Selangor Ambil Berat Aduan, Akan Bincang Di Meja Mesyuarat Exco

KUALA LUMPUR — Kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan lanjut di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung cadangan penempatan semula ladang ternakan babi, susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek ladang ternakan babi berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor dibatalkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, perbincangan berkenaan akan dibuat selepas kerajaan negeri menerima panduan dan arahan lanjut daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, setakat ini tiada sebarang kelulusan diberikan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkaitan pelaksanaan projek tersebut.

“Kami masih menunggu arahan daripada Menteri Besar untuk mengadakan perbincangan di peringkat MMKN bagi tindakan selanjutnya. Tiada masalah untuk membincangkan perkara ini kerana pandangan Perdana Menteri baru sahaja disampaikan,” katanya seperti dipetik dalam laporan Utusan Malaysia hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa di peringkat pihak berkuasa tempatan, belum terdapat sebarang perkembangan atau kelulusan rasmi berhubung projek ladang ternakan berkenaan.

Sebelum ini, Perdana Menteri mencadangkan supaya projek ladang ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar dibatalkan selepas mengambil kira kebimbangan penduduk setempat daripada pelbagai komuniti, termasuk isu keharmonian sosial dan alam sekitar.

Anwar turut menegaskan kepentingan semua pihak menghormati serta mengambil kira nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menekankan keperluan memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

Berikutan cadangan tersebut, Perdana Menteri memaklumkan bahawa perbincangan lanjut akan diadakan bersama Menteri Besar Selangor bagi menilai lokasi alternatif yang lebih sesuai, sekiranya perlu, dengan penggunaan teknologi moden yang mampu mengurangkan kesan pencemaran dan keresahan masyarakat.

Minggu lalu, kira-kira 400 penduduk dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan bantahan di pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor serta di Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor, bagi menyatakan penentangan terhadap cadangan pembinaan ladang ternakan babi berpusat di Bukit Tagar.

Sebelum ini, kerajaan negeri mencadangkan pembangunan ladang ternakan babi moden berpusat di atas tanah seluas 202 hektar di Bukit Tagar sebagai pemindahan daripada lokasi sedia ada di Tanjung Sepat, Kuala Langat, susulan aduan berterusan berkaitan pencemaran air dan bau busuk yang didakwa berpunca daripada operasi ladang di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular