KUALA LUMPUR – Kontroversi membabitkan pelakon Janna Nick dan pelakon muda Puteri Balqis dan Mia Sara terus berlarutan apabila penyanyi dangdut, Baby Shima pula tampil memberi reaksi yang mengundang perhatian ramai.
Menerusi satu komen yang dimuat naik di akaun Threads miliknya pada petang Sabtu, Baby Shima dipercayai menyindir Janna Nick yang didakwa terlalu lantang memberikan pandangan terhadap isu membabitkan Puteri Balqis dan ibunya di media sosial.
“JN sibuk nak nampak paling betul pasal isu Aqish, sama seperti dulu sibuk bercakap pasal kita. Padahal kita baik je dengan dia,” tulis Baby Shima, disertakan tanda pagar #makcikkepoh dan #makcikbawang.

Kenyataan tersebut pantas mencetuskan pelbagai reaksi netizen, dengan ramai beranggapan Baby Shima seolah-olah memberi bayangan wujud isu lama antara dirinya dan Janna Nick yang tidak pernah didedahkan secara terbuka sebelum ini.
Ruangan komen dibanjiri pelbagai reaksi, termasuk dakwaan bahawa Janna Nick sememangnya sering terlibat dalam kontroversi, selain ada yang terhibur melihat semakin ramai selebriti tampil ‘masuk gelanggang’.
“Amboi Baby Shima join war,” tulis seorang netizen, manakala seorang lagi menyatakan, “Agaknya ramai juga artis yang simpan rasa dengan J ni.”
Ada juga netizen meminta semua pihak bertenang dan tidak terus mengeruhkan keadaan, memandangkan isu asal masih belum difahami sepenuhnya oleh orang ramai.
Setakat ini, Janna Nick belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas terhadap komen Baby Shima itu. Namun, isu berkenaan terus hangat diperkatakan apabila semakin ramai selebriti dan netizen dilihat mengambil pendirian masing-masing di media sosial.
Kontroversi ini sebelum ini tercetus susulan kenyataan Janna Nick di Threads yang didakwa berkait dengan isu membabitkan Puteri Balqis dan ibunya, sekali gus mencetuskan tindak balas berantai daripada pelbagai pihak. – DRC

