Inilah Model Sekolah Masa Depan Anak Kita – Johor Dah Buat!

JOHOR BAHRU: Pendekatan pembelajaran digital menerusi Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) dilihat sebagai solusi berkesan dalam menangani isu beg sekolah berat yang sering dibangkitkan ibu bapa, khususnya melibatkan murid sekolah rendah.

Sebanyak empat sekolah telah dipilih sebagai perintis SRBJ, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Puteri 2, Sekolah Kebangsaan Seri Kota Puteri 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara dan Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, melibatkan pendekatan pendidikan bersepadu dari sekolah rendah hingga menengah.

Di SRBJ ini, murid-murid menggunakan tablet iPad sebagai alternatif kepada buku teks fizikal, sekali gus mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung setiap hari.

Inisiatif SRBJ bukan sahaja menyokong agenda pendigitalan pendidikan negara, malah meningkatkan keselesaan pembelajaran melalui penggunaan teknologi moden. Setakat ini, sebanyak 2,500 unit tablet iPad telah dibekalkan kepada murid Tahun 4, 5 dan 6 di empat buah sekolah SRBJ terpilih.

Selain peranti digital, sekolah-sekolah terlibat turut dilengkapi kemudahan internet berkelajuan tinggi serta penggunaan papan pintar (smart board) di setiap bilik darjah, menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif dan berkesan.

Pendekatan ini dijangka menjadi model rintis kepada sistem pendidikan masa hadapan, selari dengan keperluan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan teknologi, kreativiti dan kesejahteraan murid.

Pelaksanaan SRBJ turut memberi penekanan kepada penguasaan Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan Bahasa Melayu, pengukuhan STEM, pembinaan sahsiah, kebolehpasaran murid serta pentaksiran kompetensi setara piawaian antarabangsa selari dasar Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kerajaan Negeri Johor menegaskan SRBJ bukan sekadar projek rintis, sebaliknya penanda aras baharu yang membuktikan sekolah harian mampu mencapai kecemerlangan tertinggi melalui perancangan tersusun, konsisten dan berfokus. – DRC

Artikel Berkaitan

Artikel Popular