PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berunsur fitnah yang tular di platform TikTok menerusi akaun Justicenafisa🤍 (@misuscu.yong), yang menuduh kononnya pegawai SPRM menyerahkan “saman palsu” dan melabelkannya sebagai satu bentuk penipuan atau scam.
Menurut SPRM, dakwaan berkenaan adalah tidak benar, mengelirukan serta berpotensi menjejaskan kredibiliti dan integriti suruhanjaya sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang negara.
“SPRM memandang serius hantaran tersebut kerana ia mengandungi tohmahan berunsur fitnah yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Sehubungan itu, SPRM telah mengemukakan tuntutan supaya individu berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka serta menurunkan hantaran terbabit dengan serta-merta. Suruhanjaya itu turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil sekiranya tuntutan tersebut gagal dipatuhi, bagi melindungi imej dan reputasi institusi.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM memaklumkan pihaknya telah memperoleh keizinan mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara terhadap individu sama. Pertuduhan dijadualkan berlangsung pada 5 Februari 2026, melibatkan dakwaan kes rasuah berkaitan kegiatan “counter setting” imigresen.
SPRM menegaskan bahawa setiap siasatan dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang, selain mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan kepercayaan terhadap institusi penguatkuasaan negara. – DRC

