KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio popular, Jep Sepahtu mengumumkan keputusannya untuk tidak menyambung kontrak bersama stesen radio Sinar FM, sekali gus menamatkan perjalanan selama sedekad bersama stesen berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Jep menerusi satu perkongsian di Instagram miliknya, yang turut menyentuh kenangan dan penghargaan sepanjang 10 tahun berkhidmat bersama keluarga besar Sinar.
Menurut Jep, tempoh sedekad itu menyaksikan pelbagai perubahan besar dalam hidupnya, daripada fasa bujang, mendirikan rumah tangga, sehinggalah kini bergelar seorang bapa.
“Hari Jumaat terakhir aku di sini,” tulis Jep ringkas dalam perkongsian tersebut, yang mengundang pelbagai reaksi daripada rakan selebriti dan peminat.
Dalam masa sama, Jep turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Sinar FM atas kepercayaan dan peluang yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya, selain menyatakan rasa hormat terhadap bekas ketuanya, Shidah Khasim, yang dianggap seperti kakak sendiri.
Menepis sebarang spekulasi, Jep menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat secara profesional dan bukan disebabkan penamatan perkhidmatan, sebaliknya memilih untuk tidak meneruskan kontrak bersama stesen radio berkenaan.
Sehingga kini, Jep belum mendedahkan perancangan seterusnya selepas meninggalkan Sinar FM. Namun, ruangan komen media sosialnya dibanjiri ucapan terima kasih, doa serta sokongan daripada rakan industri dan peminat yang menghargai sumbangan serta kehadirannya dalam dunia penyiaran radio tempatan.
Keputusan Jep itu sekali gus menutup satu era penting dalam landskap hiburan radio, memandangkan beliau merupakan antara figura yang sinonim dengan Sinar FM sejak lebih sedekad lalu.

