Had Tempoh Perdana Menteri Mematangkan Demokrasi

Oleh : Hj Sarfarizmal Saad

PADA 5 Januari lalu, landskap politik Malaysia menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 di Putrajaya memberi cadangan yang agak radikal, iaitu komitmen kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh.

Langkah ini bukan sekadar retorik politik tetapi merupakan manifestasi daripada agenda reformasi institusi yang diperjuangkan sejak sekian lama.

Anwar menegaskan setiap jawatan mempunyai had tempohnya. Beliau memberikan analogi Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang mempunyai had perkhidmatan, maka prinsip yang sama sewajarnya terpakai kepada jawatan tertinggi eksekutif negara.

Sudah semestinya tujuan utama RUU ini untuk tiga hala tuju utama, yakni bagi mengelakkan pemusatan kuasa. Kerajaan mahu memastikan tiada individu yang memegang kuasa terlalu lama sehingga mewujudkan budaya autokratik atau diktator.

Tujuan kedua bagi membaja demokrasi yang dilihat makin sendu oleh sesetengah pihak. Dengan cara pengehadan tempoh kuasa ini, ia dapat memberi ruang kepada pemimpin generasi baharu untuk membawa idea dan perspektif segar dalam pentadbiran.

Ketiganya, memperkukuh konsep semak dan imbang negara. Dengan had masa yang jelas, sistem pentadbiran menjadi lebih telus kerana pemimpin menyedari mereka mempunyai masa terhad untuk meninggalkan legasi yang bersih.

AMALAN NEGARA LAIN

Walaupun sistem Westminster (yang diamalkan Malaysia) secara tradisinya tidak mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri (seperti di United Kingdom (UK), Australia, dan Kanada), namun banyak negara demokrasi moden lain melaksanakan had tempoh bagi ketua eksekutif sama ada dalam sistem Presiden atau separa-Presiden.

Contohnya Amerika Syarikat (AS) mengehadkan jawatan Presiden kepada dua penggal (8 hingga 10 tahun), Presiden Indonesia maksimum dua penggal atau 10 tahun, Premier China maksimum dua penggal atau 10 tahun, Presiden Perancis juga maksimum dua penggal atau 10 tahun, di Filiina pula dihadkan satu penggal selama enam tahun dan Korea Selatan satu penggal (5 tahun).

Malaysia berpotensi menjadi antara negara pertama dalam sistem Westminster yang mengkanunkan had tempoh jawatan Perdana Menteri melalui pindaan Perlembagaan. Ini akan meletakkan Malaysia setaraf piawaian demokrasi antarabangsa yang mengutamakan akauntabiliti berbanding kelangsungan kuasa individu.

IMPAK POSTIF

Harus diakui, implementasi tempoh maksimum ini dapat memberi beberapa kesan yang bagus kepada rakyat dan negara. Kita boleh senaraikan seberapa banyak impak tersebut, namun tiga perkara ini akan menjadi faktor terkuat perkembangan positif melalui pelaksanaan idea berkenaan.

Pertamanya mampu mencegah budaya ‘politik naungan’ dan kronisme. Apabila seorang pemimpin memegang kuasa terlalu lama (melebihi satu dekad), risiko wujudnya rangkaian kronisme dan politik wang meningkat. Dengan had 10 tahun, rantaian naungan ini dapat diputuskan secara sistematik setiap dua penggal, membolehkan sumber negara diagihkan dengan lebih adil kepada rakyat tanpa terikat kepada ‘balas budi’ politik jangka panjang.

Keduanya, galakan kepada kepimpinan muda dan muka baharu. RUU ini menghantar isyarat jelas kepada pemimpin muda dalam setiap parti politik bahawa pintu ke puncak kepimpinan sentiasa terbuka. Ini akan mencetuskan persaingan sihat di peringkat akar umbi dan memastikan proses membentuk pemimpin berlaku secara konsisten, sekali gus mengelakkan krisis kekosongan kepimpinan.

Selain itu, RUU ini juga dapat menambahkan fokus kepada pencapaian kerajaan. Dengan tempoh yang terhad, seorang Perdana Menteri akan lebih terdorong untuk melaksanakan reformasi dan projek berimpak tinggi dengan pantas. Mereka tidak lagi mempunyai kemewahan masa untuk ‘bermain politik’ demi kelangsungan jawatan, sebaliknya perlu fokus kepada petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam tempoh 10 tahun tersebut.

CADANGAN Anwar Ibrahim untuk menghadkan 10 tahun jawatan Perdana Menteri bagi mengelakkan kuasa bertumpu, buka ruang pemimpin baharu dan fokus hasil.

CABARAN

Namun, kita tidak boleh sekadar syok sendiri dengan hanya menghidangkan manis-manis sahaja. Perlu juga dilihat sudut-sudut keburukan atau kepahitan daripada keputusan ini.

Walaupun kelihatan ideal, namun terdapat beberapa cabaran dan kesan negatif yang perlu dipertimbangkan semua pihak, yang perlu diuruskan kerajaan.

Pertamanya, bakal membentuk fenomena ‘lame duck’ (Pemimpin lemah di hujung penggal). Apabila seorang Perdana Menteri memasuki penggal kedua dan menghampiri had 10 tahun, pengaruh politiknya mungkin merosot kerana semua pihak sedia maklum beliau bakal bersara. Ini boleh menyebabkan penjawat awam atau ahli politik lain mula mengalihkan kesetiaan kepada bakal pengganti, sekali gus menjejaskan keberkesanan pelaksanaan dasar pada tahun-tahun akhir.

Isu kesinambungan dasar jangka panjang mungkin terganggu. Ini kerana projek mega atau transformasi ekonomi tertentu sering kali mengambil masa lebih 10 tahun untuk membuahkan hasil sepenuhnya (Contoh: Pelan Induk Perindustrian Baharu atau Transisi Tenaga). Pertukaran kepimpinan yang wajib setiap 10 tahun dikhuatiri akan membawa kepada perubahan dasar yang drastik sekiranya pengganti mempunyai ideologi berbeza.

Ketiganya, bakal berlaku keadaan negara kehilangan pemimpin berwibawa. Rakyat mungkin berada dalam situasi mahukan seorang pemimpin yang sangat berprestasi tinggi untuk terus berkhidmat, namun terhalang oleh undang-undang. Dalam konteks ini, negara mungkin kehilangan kepakaran dan kestabilan yang dibawa pemimpin berpengalaman luas dalam mendepani krisis global yang kompleks.

ASPIRASI MALAYSIA MADANI

Amanat 2026 ini selari dengan tiang utama Malaysia Madani, terutamanya dari segi ihsan, amanah dan terajui. Mengehadkan tempoh kuasa adalah bentuk amanah kepada rakyat bahawa jawatan Perdana Menteri bukanlah milik mutlak individu tetapi merupakan tanggungjawab sementara yang perlu dipulangkan kepada rakyat untuk dinilai semula melalui proses demokrasi.

Langkah ini juga dilihat sebagai persediaan Malaysia untuk menjadi demokrasi matang di rantau ASEAN.

Dengan memulakan RUU ini pada sesi Parlimen 19 Januari ini, Kerajaan Perpaduan menunjukkan keberanian untuk melakukan pembedahan besar ke atas sistem sedia ada demi menjamin kestabilan masa hadapan

Artikel ini telah disiarkan di Utusan Online pada 8 Januari 2026 : https://www.utusan.com.my/rencana/2026/01/had-tempoh-perdana-menteri-mematangkan-demokrasi/

Artikel Berkaitan

Artikel Popular