SAN FRANCISCO – Impian manusia untuk bermalam di bulan semakin hampir menjadi realiti apabila sebuah syarikat pemula angkasa lepas, GRU Space, mengumumkan perancangan membina hotel pertama di bulan menjelang tahun 2032.
Menariknya, syarikat itu diasaskan oleh seorang anak muda berusia 21 tahun, Skylar Chan, yang kini sudah mula menerima bayaran pendahuluan tempahan daripada peminat angkasa lepas dengan nilai sekitar AS$1 juta (RM4.02 juta) setiap seorang, walaupun pembinaan hotel tersebut masih belum dimulakan.
Menurut Chan, harga akhir bagi penginapan di hotel bulan berkenaan dijangka melebihi AS$10 juta (RM40.2 juta) bagi setiap bilik, sekali gus menjadikannya antara projek pelancongan paling eksklusif dalam sejarah manusia.

Berbeza dengan cadangan terdahulu oleh beberapa syarikat lain, GRU Space merancang untuk memanfaatkan sumber semula jadi di bulan. Mereka akan menggunakan sistem robotik canggih bagi memproses tanah bulan atau regolit untuk dijadikan bahan binaan tahan lasak, sebelum disusun membentuk struktur kukuh yang mampu bertahan dalam persekitaran ekstrem bulan.
Hotel berkenaan bukan sekadar bertujuan pelancongan, sebaliknya akan berfungsi sebagai tapak ujian bagi pembinaan pangkalan, jalan raya dan infrastruktur sokongan lain bagi penempatan manusia di angkasa lepas.
Reka bentuk hotel dijangka menggunakan struktur boleh kembang yang dipadatkan ke dalam roket semasa pelancaran, sebelum dikembangkan sebaik tiba di bulan. Pendekatan ini menjimatkan berat dan ruang, selain mengurangkan kos penghantaran dari bumi.
Setiap unit hotel direka untuk menempatkan sehingga empat tetamu, lengkap dengan sistem sokongan kehidupan termasuk bekalan oksigen, kitar semula air, kawalan suhu serta sistem keselamatan kecemasan. Struktur tersebut dijangka mampu bertahan sehingga 10 tahun, dengan peluasan dirancang pada misi keempat.
GRU Space menyasarkan pelaksanaan fasa pertama misi pada 2029, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa angkasa antarabangsa. Matlamat jangka panjang syarikat itu adalah untuk mewujudkan ekonomi angkasa yang berdikari sepenuhnya, tanpa kebergantungan berterusan kepada sumber dari bumi.
“Kita berada di titik perubahan besar. Jika projek ini berjaya, manusia bukan sahaja melancong ke bulan, malah membina kehidupan baharu di luar bumi,” kata Chan, yang sebelum ini terlibat dalam projek cetakan 3D sokongan NASA dan diterima masuk ke program Y Combinator sebagai pengasas solo termuda dalam sektor angkasa.

