KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan bergaya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Menerusi satu kenyataan, Fahmi menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara.
“Saya doakan agar kedua-dua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang baharu, iaitu saudara Mohd Kurniawan Naim Moktar dan saudara Mohd Ismail Ayob, dapat berkhidmat dengan cemerlang demi rakyat dan negara,” katanya.
Dalam PRK tersebut, BN berjaya mempertahankan Parlimen Kinabatangan menerusi kemenangan Mohd Kurniawan Naim Moktar, sekali gus meneruskan legasi kepimpinan keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Sementara itu, DUN Lamag turut kekal menjadi milik BN apabila Mohd Ismail Ayob menewaskan pencabarnya dengan majoriti yang selesa.
Kemenangan ini dilihat sebagai isyarat sokongan berterusan pengundi terhadap BN di Sabah, khususnya di Kinabatangan yang kekal sebagai kubu kuat parti itu sejak beberapa penggal lalu. – DRC

