SHAH ALAM – Kerajaan Selangor giat melaksanakan langkah pengosongan ladang ternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat apabila jumlah ladang yang masih beroperasi kini tinggal lebih 30 buah, berbanding 115 ladang sebelum ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, penurunan mendadak itu susulan tindakan tegas kerajaan negeri terutama terhadap ladang yang dikesan positif wabak Demam Babi Afrika (ASF).
Menurutnya, pengosongan tersebut bukan bertujuan mengharamkan industri penternakan babi, sebaliknya untuk memastikan kelangsungan industri itu diurus secara lebih sistematik, lestari dan selamat pada masa hadapan.
“Saya sudah berjumpa dengan persatuan penternak dan menegaskan langkah ini untuk kebaikan dan masa depan mereka sendiri. Bila industri tidak mampan, penyakit mudah merebak dan akhirnya merugikan penternak,” katanya ketika ditemui di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.
Izham berkata, bagi ladang yang masih negatif ASF, kerajaan negeri masih memberi tempoh masa tertentu untuk proses pengosongan dilaksanakan secara berperingkat.
Beliau turut memaklumkan beberapa cadangan penambahbaikan telah dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), termasuk pelaksanaan sesi dialog bersama persatuan penternak bagi memberi kefahaman bahawa pendekatan kerajaan adalah bersifat pengurusan dan penstrukturan semula industri, bukan pengharaman.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Selangor turut membatalkan dan menangguhkan sementara projek penternakan babi berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor, susulan bantahan penduduk serta keperluan penelitian lebih menyeluruh.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, sebelum ini memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat serta titah Sultan Selangor.
Pada 12 Januari lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan menzahirkan kemurkaan dan kebimbangan terhadap perancangan penternakan babi berskala besar di Kuala Langat yang didiami majoriti penduduk Melayu, selain isu pencemaran yang berlarutan sejak lebih sedekad.

