JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan UMNO Johor, Tuan Haji Md Israk Abdullah menegaskan pendirian tegas parti itu dengan menolak sebarang pelawaan daripada DAP supaya UMNO Johor bersama Kerajaan MADANI dalam usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Dalam satu kenyataan media ringkas yang dikeluarkan hari ini, Md Israk berkata pendirian tersebut dibuat sebagai respons langsung kepada kenyataan pimpinan DAP yang sebelum ini berharap UMNO Johor menyokong langkah pengiktirafan UEC di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
“Saya ingin merespon pelawaan DAP yang berharap UMNO Johor akan bersama-sama Kerajaan Madani dalam meneruskan usaha mengiktiraf UEC,” katanya.
Bagaimanapun, Md Israk menegaskan bahawa pendirian UMNO Johor adalah jelas dan tidak berselindung.
“Tidak. Itu jawapan saya,” katanya ringkas, sekali gus menutup sebarang ruang perbincangan lanjut berhubung isu berkenaan.
Kenyataan itu memperlihatkan perbezaan pendirian yang ketara antara UMNO Johor dan DAP berhubung isu pendidikan, khususnya melibatkan pengiktirafan UEC yang terus menjadi polemik politik dan perdebatan nasional.
Isu UEC sebelum ini kembali hangat susulan kenyataan beberapa pimpinan DAP yang menegaskan pengiktirafan sijil tersebut sebagai sebahagian agenda keadilan pendidikan, namun ia terus menerima tentangan daripada beberapa pihak termasuk pemimpin UMNO di peringkat negeri. – DRC

