KUALA LUMPUR — Perkongsian foto Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah berpakaian serba putih baru-baru ini mencetuskan gelombang spekulasi dalam kalangan peminat, apabila ramai mula mempersoalkan status sebenar hubungan dua figura popular industri muzik tanah air itu.
Tanda tanya semakin hangat apabila beberapa individu tampil di ruangan komen mendakwa pasangan berkenaan sebenarnya sudah lama mendirikan rumah tangga secara tertutup. Dakwaan itu tular selepas tangkap layar komen seorang netizen menyebut kononnya majlis perkahwinan pasangan terbabit berlangsung dalam suasana kecil bersama keluarga terdekat.
“Dah lama kahwin… majlis kecil di rumah family, hal di Puncak Alam,” tulis seorang pengguna media sosial, yang kemudiannya disokong oleh beberapa netizen lain dengan dakwaan serupa.
Susulan itu, perbincangan dalam talian semakin rancak dengan sebahagian warganet mempersoalkan mengapa perkahwinan tersebut tidak diumumkan secara terbuka, manakala sebahagian lain mempertahankan pasangan itu dengan menyifatkan perkara berkenaan sebagai hak peribadi dan pilihan hidup masing-masing.
Ada juga netizen memuji pendekatan Hael dan Dayang yang dikatakan memilih untuk menjalani kehidupan berumah tangga secara sederhana serta jauh daripada sorotan umum, berbanding meraikan majlis besar-besaran yang sering menjadi perhatian media.
Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Hael Husaini mahupun Dayang Nurfaizah bagi mengesahkan atau menafikan dakwaan berkenaan. Justeru, status sebenar hubungan mereka kekal menjadi tanda tanya dan terus mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.

