SEOUL: Seorang wanita warga Korea Selatan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas didapati bersalah mengerat alat sulit suaminya sebelum mengepam anggota badan itu ke dalam tandas, dalam satu kejadian ngeri yang menggemparkan negara tersebut.
Portal berita Must Share News melaporkan, kejadian berlaku pada 1 Ogos 2024 di Pulau Ganghwa, Incheon, selepas wanita berusia 58 tahun itu mengesyaki suaminya menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain.
Mahkamah turut mensabitkan kesalahan ke atas menantu wanita tersebut yang membantu mengikat mangsa menggunakan tali sebelum serangan dilakukan. Menantu terbabit dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun.
Siasatan mendapati, mangsa berada dalam keadaan mabuk dan tidak sedarkan diri ketika kejadian. Tertuduh kemudian menggunakan sebilah pisau untuk menetak alat sulit suaminya sebanyak kira-kira 50 kali sebelum mengepamnya ke dalam lubang tandas. Kedua-dua wanita itu kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian.
Dalam perkembangan berkaitan, anak perempuan mangsa yang didapati mengupah penyiasat persendirian untuk menjejaki bapanya sebelum kejadian turut didenda sebanyak tiga juta won (kira-kira RM8,000) kerana bersubahat dalam kes tersebut.
Mangsa dilaporkan terselamat selepas menjalani pembedahan kecemasan, namun mengalami trauma fizikal dan psikologi yang serius akibat insiden berkenaan.
Mahkamah dalam penghakimannya menyifatkan perbuatan tertuduh sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan, walaupun didakwa bermotifkan cemburu dan emosi tidak terkawal.
Kes ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat Korea Selatan mengenai keganasan domestik, dendam berlebihan serta peranan ahli keluarga dalam jenayah berat.

