KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Balqis tampil lantang menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada seorang aktres dan pempengaruh wanita susulan dakwaan memburukkan ibunya, Norashikin Mohd Aziz, sehingga mencetuskan kontroversi hangat di media sosial.
Menerusi beberapa hantaran di Instagram Story, Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish meluahkan rasa kecewa terhadap dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah, termasuk tuduhan berhubung gaya hidup ibunya yang menurutnya langsung tidak berasas.
“Mohon maaf dengan mak aku. Kau mampu jawab dengan mak aku?” tulisnya dalam satu hantaran yang pantas tular.
Aqish menegaskan ibunya bukan individu yang mengamalkan gaya hidup bebas seperti berhibur di kelab malam, mengambil minuman keras atau terlibat dengan bahan terlarang seperti yang didakwa sebelum ini oleh pihak tertentu.
Dalam hantaran sama, pelakon drama Keluarga Itu itu turut menyentuh isu sensitif melibatkan dakwaan pengguguran kandungan yang didakwa membabitkan individu berkenaan, namun tidak mengemukakan sebarang bukti sokongan berhubung dakwaan tersebut.

Kontroversi itu dipercayai berpunca daripada dakwaan bahawa aktres terbabit pernah memburukkan ibu Aqish secara terbuka, selain didakwa meninggalkan tanda suka pada komen-komen berunsur hinaan terhadap dirinya dan keluarganya di media sosial.
Isu berkenaan turut diperkuatkan dengan dakwaan seorang krew produksi yang mendakwa pernah mendengar perbualan menghina melibatkan beberapa individu terhadap Puteri Balqis ketika berada di set penggambaran.
Setakat ini, aktres yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi menjawab tuduhan yang dilemparkan.
Kontroversi berkenaan terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen, dengan ramai menyeru agar isu sensitif melibatkan keluarga dan maruah peribadi diselesaikan secara tertutup serta berhemah, tanpa berlarutan di ruang awam.

