Balasan Tuhan? Dari Ladang ke Longkang, Hasil Pertanian Israel Kini Tak Laku

TEL AVIV – Sektor eksport pertanian Israel kini berdepan krisis serius apabila hasil utama seperti sitrus dan mangga mengalami kemerosotan mendadak susulan kempen boikot antarabangsa yang tercetus akibat perang berlarutan di Genting Gaza.

Menurut laporan stesen penyiar awam Israel, Kan 11, petani dan pengeksport Israel berdepan gelombang pembatalan pesanan daripada pasaran luar negara, khususnya di Eropah dan Asia. Keadaan itu menyebabkan lambakan hasil pertanian tidak terjual sehingga ada yang rosak dan membusuk.

“Pembeli antarabangsa tidak lagi mahu membeli produk Israel. Pengimport Eropah beralih kepada sumber bekalan alternatif,” menurut laporan berkenaan. Seorang petani dilaporkan meluahkan kekecewaan apabila berkata, “Mereka tidak lagi mahu membeli mangga kami.”

Krisis ini turut diburukkan dengan gangguan laluan perkapalan di Laut Merah susulan serangan kumpulan Huthi di Yaman terhadap kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel. Ratusan serangan memaksa syarikat perkapalan menggunakan laluan lebih jauh, sekali gus meningkatkan kos dan menyebabkan kelewatan penghantaran ke pasaran Asia selama beberapa minggu.

Pengurus ladang di Kibbutz Givat Haim Ichud, Nitzan Weisberg, berkata pembatalan eksport oleh negara Eropah sebagai tanda solidariti terhadap Palestin telah menyebabkan kerugian besar kepada petani.

“Hasil kami berkualiti tinggi, tetapi tetap tidak mendapat sambutan. Jika keadaan ini berterusan, sektor pertanian Israel boleh runtuh,” katanya.

Situasi sama dilaporkan di Hibat Zion apabila gudang-gudang terpaksa melonggokkan buah-buahan untuk dijual di pasaran domestik akibat kegagalan menembusi pasaran luar. Setiausaha Agung Persatuan Penanam Sitrus Israel, Daniel Klusky, mendedahkan bahawa sejak perang bermula, mereka gagal mengeksport walau satu kontena ke negara Scandinavia.

Sebahagian petani Israel turut mencetuskan kontroversi apabila menyatakan mereka lebih rela menanggung kerugian daripada menjual hasil pertanian kepada penduduk Gaza yang berdepan kebuluran, dengan alasan kebimbangan keselamatan.

Dalam masa sama, kempen boikot global terhadap produk Israel sebagai simbol solidariti bersama rakyat Palestin dilaporkan mencetuskan reaksi ekstrem, termasuk peningkatan serangan oleh pelampau Yahudi ke atas ladang zaitun milik penduduk Palestin di wilayah diduduki.

Perkembangan itu menunjukkan konflik Gaza bukan sahaja memberi kesan kemanusiaan dan politik, malah kini mula menggoncang sektor ekonomi strategik Israel, khususnya pertanian yang sebelum ini menjadi antara penyumbang penting kepada eksport negara itu.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular