Apa Maksud Kemenangan BN Di Sabah? Ini Jawapan Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag mencerminkan keyakinan berterusan rakyat terhadap usaha, khidmat serta komitmen yang ditunjukkan di peringkat akar umbi.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini, Anwar menegaskan kejayaan tersebut wajar ditanggapi sebagai satu amanah besar daripada rakyat, yang menuntut kepimpinan berintegriti, tahap perkhidmatan yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan dalam memastikan pembangunan di Sabah dapat diperkukuh, kesejahteraan rakyat terus dipelihara serta agenda madani dapat dijelmakan secara konsisten dan menyeluruh.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional atas kejayaan mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, serta kepada wakil rakyat baharu kawasan berkenaan, saudara Mohd Kurniawan Naim Moktar dan saudara Mohd Ismail Ayob,” katanya.

Perdana Menteri turut mendoakan agar legasi khidmat dan kepimpinan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dapat diteruskan sebaiknya demi kepentingan rakyat di kawasan terbabit.

Pada PRK Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim mencatat kemenangan bergaya dengan majoriti 14,214 undi, menewaskan calon Parti Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman serta calon Bebas, Goldam Hamid.

Sementara itu, di DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob menang dengan majoriti 5,681 undi menewaskan calon Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Bung Moktar Radin, pada 5 Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular