GOMBAK – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan keharmonian antara kaum dan agama terus terpelihara apabila melakukan tinjauan persiapan sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, hari ini.
Lawatan tersebut dibuat sejurus beliau menunaikan solat Jumaat di Gombak, bertujuan memastikan aspek keselamatan, kebersihan dan keselesaan penganut Hindu yang akan menyertai sambutan Thaipusam pada Ahad ini berada pada tahap terbaik.
Menurut Anwar, suasana yang disaksikan di Batu Caves jelas mencerminkan kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan agama. Katanya, nilai kepelbagaian inilah yang menjadi asas kepada perpaduan nasional dan perlu dipelihara dengan menolak sebarang usaha menanam kebencian, perpecahan serta prasangka antara kaum dan agama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan kuil, para penganut Hindu dan pengunjung atas sambutan mesra yang diberikan, sambil menyifatkan keramahan itu sebagai lambang semangat muhibah yang menjadi tunjang kekuatan negara.
Dalam mesejnya, Anwar turut mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada seluruh penganut Hindu, dengan harapan perayaan tersebut membawa kebahagiaan, kesejahteraan dan ketenangan.
Perdana Menteri juga menekankan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memastikan kebajikan serta keselamatan semua penganut agama diberi perhatian, selaras dengan prinsip keterangkuman dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia. – DRC

