WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Ahad memberi bayangan bahawa Washington tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ketenteraan terhadap Iran susulan laporan berterusan mengenai tindakan keras berdarah kerajaan Teheran terhadap gelombang protes besar-besaran anti-kerajaan di negara itu.
Trump berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan di dalam pesawat Air Force One mengenai sama ada Iran telah melampaui ‘garis merah’ yang pernah ditetapkannya, khususnya berkaitan pembunuhan terhadap penunjuk perasaan awam.
“Mereka nampaknya sudah mula berbuat demikian,” kata Trump, merujuk kepada laporan kematian dalam kalangan peserta demonstrasi.
Menurut beliau, Amerika Syarikat memandang serius perkembangan tersebut dan semua pilihan sedang dipertimbangkan, termasuk penggunaan kekuatan ketenteraan.
“Kami sedang meneliti perkara ini dengan sangat serius. Pihak tentera sedang menilai situasi dan kami mempertimbangkan beberapa pilihan yang sangat tegas. Keputusan akan dibuat,” katanya.
Kenyataan Trump hadir ketika tekanan antarabangsa terhadap Iran semakin memuncak susulan laporan mengenai korban nyawa, penahanan besar-besaran serta sekatan internet yang didakwa digunakan pihak berkuasa bagi menyekat kebangkitan rakyat sejak akhir tahun lalu.
Protes di Iran dilaporkan tercetus akibat ketidakpuasan hati rakyat terhadap keadaan ekonomi, kos sara hidup yang meningkat serta isu kebebasan politik, sebelum bertukar menjadi bantahan terbuka terhadap kepimpinan negara itu.
Setakat ini, Rumah Putih belum mengumumkan sebarang keputusan muktamad. Namun, pendirian Trump itu dilihat mencerminkan kemungkinan perubahan drastik dasar luar Amerika Syarikat terhadap Iran sekiranya keganasan terhadap orang awam terus berlanjutan.
Pemerhati antarabangsa memberi amaran bahawa sebarang tindakan ketenteraan berpotensi mencetuskan ketegangan lebih besar di rantau Timur Tengah yang sememangnya bergolak.

