Trump Panas Hati, Dakwa “AS Hilang Kedaulatan” Lepas Muslim Jadi Datuk Bandar New York

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa negaranya kini “kehilangan kedaulatan” susulan kemenangan mengejut ahli politik berhaluan kiri berketurunan Islam, Zohran Mamdani, yang diumumkan sebagai Datuk Bandar baharu New York minggu ini.

“Kami akan menanganinya,” kata Trump dalam ucapan di Miami, tanpa menjelaskan lanjut maksud kenyataannya. Beliau menuduh bandar terbesar AS itu kini bakal menjadi “komunis” di bawah kepimpinan Mamdani.

Trump turut menyifatkan Miami sebagai “tempat perlindungan bagi mereka yang melarikan diri daripada komunisme New York,” sambil menyeru rakyat Amerika membuat pilihan jelas antara “komunisme dan akal waras.”

“Kita harus memilih antara mimpi ngeri ekonomi dan keajaiban ekonomi,” katanya pada majlis memperingati ulang tahun pertama kemenangan pilihan raya presiden menentang Kamala Harris.

Sementara itu, kemenangan Mamdani yang berusia 34 tahun disifatkan sebagai bersejarah, menjadikannya Datuk Bandar Muslim pertama New York. Beliau sebelum ini menjadi sasaran serangan politik dan retorik anti-Islam oleh tokoh konservatif termasuk Trump sendiri.

“Jika ada bandar yang mampu menunjukkan kepada dunia bagaimana menewaskan Donald Trump, ia ialah bandar yang pernah melahirkannya,” kata Mamdani dalam ucapan kemenangannya.

Kemenangan Mamdani, bersama kejayaan calon Demokrat di Virginia dan New Jersey, dilihat sebagai isyarat perubahan arus politik AS menjelang pilihan raya pertengahan penggal tahun depan.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular