Kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bulan lalu bukan sahaja membanggakan rakyat, malah turut mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, Trump secara peribadi menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas tahap keselamatan dan pengurusan acara bertaraf dunia itu, bahkan menyatakan hasrat untuk bertemu Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bagi menyampaikan ucapan terima kasih secara rasmi.
“Saya masih ingat, Presiden Trump sendiri minta kebenaran untuk berjumpa Ketua Polis Negara bagi menyampaikan penghargaan kerana tahap keselamatan kita yang sangat membanggakan,” katanya selepas melancarkan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di sini hari ini.
Tambah Anwar, kejayaan Malaysia menguruskan kehadiran puluhan pemimpin dunia dalam sidang kemuncak itu membuktikan keupayaan negara sebagai tuan rumah yang profesional, efisien dan dihormati di peringkat global.
“Baru tadi saya bermesyuarat dengan kumpulan pelaburan besar dari New York. Mereka kagum bukan hanya dengan infrastruktur, tapi dengan kebolehan pasukan kita mengurus acara antarabangsa sebesar ASEAN Summit,” katanya.

