“Perkahwinan Tamat, Tapi Amanah Anak Kekal” — Luahan Dr Afifah, Isteri Nubhan

Isteri kepada penyanyi terkenal Nubhan, Dr. Afifah Hidayah, menzahirkan pandangan matang mengenai tanggungjawab sebagai ibu bapa selepas rumah tangganya dilaporkan berakhir.

Menurut Afifah, meskipun perkahwinan tidak dapat diselamatkan, amanah membesarkan dan membimbing anak-anak tetap menjadi tanggungjawab bersama.

“Walaupun perkahwinan sudah berakhir, amanah untuk membesarkan dan membimbing anak-anak tetap menjadi tanggungjawab bersama. Perkongsian tanggungjawab sebagai ibu bapa dalam Islam berlandaskan rahmah, kasih sayang dan tanggungjawab,” tulisnya di platform Threads.

Beliau turut menyeru agar kedua-dua pihak memainkan peranan mendidik anak-anak dalam aspek agama, nilai hormat, serta kasih sayang.

Dalam hantaran lain, Afifah meluahkan perasaan sebagai seorang ibu yang berkorban sepenuhnya demi tiga anaknya — Aafiyah (8), Ahmad Aaffan (6), dan Afzan Nayille (3).

“Aku mengandungkan mereka dengan kasih, membesarkan mereka dengan kesabaran, mendidik mereka dengan doa dan impian. Setiap langkah, setiap keputusan semuanya demi mereka,” luahnya.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menetapkan 26 November sebagai tarikh sebutan kedua kes hadanah yang difailkan Nubhan, manakala kes pengesahan lafaz cerai akan disebut pada 2 Disember di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular