Seorang menteri Israel mengundang kecaman ramai selepas menggesa masyarakat Yahudi di New York, Amerika Syarikat (AS) untuk berhijrah ke Israel susulan kemenangan Zohran Mamdani, ahli politik beragama Islam yang baru dilantik sebagai Datuk Bandar New York.
Menteri Hal Ehwal Diaspora Israel, Amichai Chikli, menyifatkan kemenangan Mamdani sebagai “titik perubahan kritikal” bagi bandar yang suatu ketika dahulu menjadi lambang kebebasan dan peluang bagi pelarian Yahudi.
“Orang Yahudi di New York harus benar-benar mempertimbangkan untuk menjadikan tanah Israel sebagai rumah baharu mereka,” katanya seperti dilaporkan Middle East Eye.
Chikli, yang sebelum ini dikenali dengan pendirian keras menyokong penempatan haram Yahudi dan pembersihan etnik di Lubnan Selatan, turut menuduh Mamdani sebagai penyokong Hamas.
Lebih kontroversi, beliau menyamakan pandangan politik Mamdani dengan “pelampau yang membunuh 3,000 orang pada 11 September 2001” — satu kenyataan yang disifatkan pemerhati sebagai cubaan untuk menimbulkan ketakutan terhadap komuniti Islam.
Kemenangan Zohran Mamdani, ahli politik sosialis berusia 34 tahun, dianggap bersejarah selepas berjaya menewaskan calon konservatif dan menjadi Datuk Bandar Muslim pertama di bandar terbesar Amerika itu.

