Tindakan seorang lelaki yang berani membuat siaran langsung di media sosial sambil merakam wajah seorang gadis tanpa kebenaran di sebuah restoran mencetuskan kemarahan ramai pengguna media sosial.
Lelaki terbabit yang difahamkan merupakan suami kepada seorang usahawan dari Kelantan, bukan sekadar merakam wajah gadis itu secara terbuka, malah turut bersembang lucah dengan pengikutnya sepanjang sesi ‘live’ tersebut.
Rakaman berdurasi hampir dua minit itu kini tular di platform TikTok dan Instagram selepas beberapa pengguna memuat naik semula potongan video berkenaan yang menunjukkan wajah mangsa jelas kelihatan.
Lebih menjijikkan, lelaki tersebut dan pengikutnya didapati meninggalkan komen berunsur seksual dan lucah, meskipun gadis berkenaan tidak menyedari dirinya sedang dirakam.
Tindakan itu menimbulkan kemarahan warganet, yang menyifatkannya sebagai gangguan seksual siber dan pelanggaran hak privasi yang serius.
“Kalau orang rakam muka adik atau kakak dia macam tu, baru dia tahu rasa. Ini bukan konten, ini gangguan seksual,” tulis seorang pengguna, Insyirah.
Beberapa netizen turut menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap lelaki terbabit, malah ada yang menasihatkan wanita dalam video itu untuk membuat laporan polis.
“Rakaman tanpa kebenaran yang menjejaskan maruah individu boleh diklasifikasikan sebagai gangguan seksual siber. Ini bukan sekadar tak bermoral — ia juga salah di sisi undang-undang,” kata seorang pengguna Instagram.
Fenomena ‘live content’ tanpa batas ini turut mendapat perhatian ramai yang bimbang trend tersebut semakin berleluasa demi tontonan dan perhatian semata-mata.

