Kajian RM250k – Cari Patin Muncung Guna DNA Sungai

Usaha menjejaki ikan patin muncung yang semakin hilang dari sungai utama seperti Sungai Pahang kini memerlukan pendekatan saintifik berteknologi tinggi menggunakan kaedah DNA persekitaran (eDNA) — dengan kos dianggarkan antara RM150,000 hingga RM250,000 bagi satu kajian lengkap.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Tun Nurul Aimi Mat Jaafar, berkata anggaran kos itu meliputi pembelian peralatan penapisan dan pengekstrakan DNA, bahan kimia makmal, analisis genetik serta operasi lapangan menggunakan teknik Next-Generation Sequencing (NGS).

“Walaupun kos awalnya tinggi, eDNA sebenarnya lebih menjimatkan berbanding kaedah tradisional yang memerlukan jaring, pukat dan tenaga kerja besar. Kajian eDNA hanya perlukan air sungai — setiap titisan air itu membawa jejak biologi spesies yang kita cari,” jelasnya.

Menurutnya, satu sampel air boleh dianalisis dengan kos sekitar RM600, namun ia memberikan gambaran menyeluruh mengenai kehadiran spesies ikan di kawasan tersebut tanpa perlu menjejak secara fizikal.

Kaedah ini berfungsi dengan mengesan sisa biologi seperti lendir, sel kulit, najis atau sisik ikan yang dibawa arus sungai, dan mampu mengesahkan sama ada spesies tertentu — termasuk patin muncung — masih wujud atau telah pupus di sesuatu lokasi.

Tambahnya lagi, kajian eDNA biasanya mengambil masa antara enam bulan hingga dua tahun merangkumi proses persampelan, analisis makmal, dan tafsiran data genetik.

“Buat masa ini, teknologi eDNA amat sesuai digunakan bagi tujuan pengesanan dan pemantauan biodiversiti ikan. Ia membantu saintis dan kerajaan merancang pelan pemuliharaan lebih berfokus,” katanya.

Sebelum ini, saintis Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi turut mencadangkan penggunaan teknologi eDNA bagi menjejaki spesies patin muncung (Pangasius nasutus) yang semakin pupus akibat aktiviti pam pasir dan penangkapan berlebihan.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular