Jururawat Dipenjara Seumur Hidup Kerana Bunuh Pesakit, Alasannya Untuk Kurangkan Beban Kerja

Seorang jururawat lelaki di Jerman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh 10 pesakit tenat di wad paliatif semata-mata untuk mengurangkan beban kerja malamnya, lapor agensi berita dpa pada Rabu.

Mahkamah wilayah Aachen menjatuhkan keputusan itu setelah mendapati tertuduh berusia 44 tahun itu bersalah atas 10 pertuduhan membunuh dan 27 cubaan membunuh. Panel hakim turut memutuskan bahawa tertuduh tidak layak dipertimbangkan untuk parol selepas menjalani hukuman minimum 15 tahun, disebabkan keseriusan jenayahnya.

Siasatan mendapati, antara Disember 2023 hingga Mei 2024, jururawat itu memberikan dos berlebihan ubat penenang dan tahan sakit kepada pesakit-pesakit di sebuah klinik berhampiran bandar Aachen, kononnya bagi memudahkan kerja syif malam.

Pendakwa raya mendakwa tindakan itu dilakukan dengan niat untuk mempercepatkan kematian pesakit, sementara peguam bela pula berhujah ia bukan dilakukan dengan niat membunuh.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bukti forensik dan corak kematian pesakit membuktikan sebaliknya.

Kes ini menggemparkan Jerman dan membuka semula perdebatan tentang beban kerja dan tekanan moral dalam profesion kejururawatan, khususnya di unit paliatif.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular