Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, dalam mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) tahun 2025, selepas mengambil kira pertumbuhan ekonomi suku ketiga yang lebih baik daripada jangkaan.
Dalam kenyataan rasminya, BNM menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan permintaan domestik yang kukuh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang stabil, serta pengeluaran komoditi yang mula pulih.
“Pada tahap OPR semasa, dasar monetari kekal wajar dan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam keadaan harga yang stabil,” kata BNM.
BNM turut menekankan bahawa prospek ekonomi global semakin positif, walaupun berdepan risiko seperti ketegangan geopolitik dan tarif perdagangan yang tinggi. Sektor pekerjaan yang kukuh, inflasi global yang menurun serta dasar fiskal yang menyokong dijangka terus memperkukuh pertumbuhan.
Menjelang 2026, BNM menjangka permintaan domestik dan pelaburan swasta akan kekal sebagai pemacu utama ekonomi, diperkukuh oleh pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2026.
Bagi inflasi, kadar keseluruhan dan teras masing-masing kekal rendah pada 1.4% dan 1.9%, manakala inflasi 2026 diunjur terus sederhana berikutan kos global yang reda serta harga komoditi stabil.

