Warga Emas 60 Tahun Ke Atas Dicadang Dapat Giliran Haji Automatik

Beberapa Ahli Parlimen menggesa Lembaga Tabung Haji (TH) mempertimbangkan kelayakan automatik bagi individu berumur 60 tahun ke atas untuk menunaikan haji melalui pakej muassasah, tanpa perlu membuat rayuan atau membayar kos penuh RM33,300.

Cadangan itu disuarakan oleh Dr. Halimah Ali (PN–Kapar) dan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN–Jempol) semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

“Kalau mereka dah 60 tahun ke atas, tak perlu lagi rayuan. Beri kelulusan automatik — bukan seperti T20 yang perlu bayar tambahan,” tegas Dr. Halimah.

Shamshulkahar pula menekankan aspek kesejahteraan warga emas, khususnya dengan syarat kesihatan yang lebih ketat oleh kerajaan Arab Saudi mulai musim haji 2026.

“Kalau mereka berumur 60 tahun hari ini, tunggu giliran 15 tahun lagi, sudah 75 tahun. Dengan faktor kesihatan yang diperketat, bagaimana mereka mahu tunaikan haji?” katanya.

Menjawab cadangan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, menjelaskan bahawa TH kekal berpegang kepada sistem ‘daftar dahulu, didahulukan’, namun bersedia meneliti cadangan berkenaan.

Menurut beliau, bagi musim haji 1446H/2025M, seramai 12,102 jemaah berusia 60 tahun ke atas telah dipilih — mewakili hampir 40% daripada jumlah keseluruhan jemaah Malaysia.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular