Wanita Batalkan Pernikahan, Tuntut RM70,000 Sebagai “Bayaran Pelukan” ketika Fotografi Perkahwinan

Seorang wanita di China menjadi tumpuan ramai selepas menuntut 30,000 yuan (kira-kira RM70,000) daripada bekas tunangnya sebagai ‘bayaran pelukan’, selepas memutuskan pertunangan mereka dua bulan sebelum majlis perkahwinan.

Menurut laporan Henan TV, wanita berkenaan pada awalnya bersetuju untuk memulangkan semula hadiah pertunangan bernilai 200,000 yuan (RM466,800) yang diterimanya. Namun, dia kemudian menuntut agar 30,000 yuan dipotong sebagai pampasan kononnya bagi “kos berpelukan” ketika sesi fotografi praperkahwinan.

Permintaan luar biasa itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial China, dengan ramai netizen menyifatkan tindakan wanita itu sebagai tidak masuk akal dan tidak bermoral.

Putus Tunang Kerana “Terlalu Jujur dan Gaji Rendah”

Pasangan dari Pingdingshan, wilayah Henan itu bertunang pada Januari 2025 dan dijadual berkahwin pada November tahun sama. Semua persiapan telah dilakukan termasuk sesi foto praperkahwinan dan tempahan hotel.

Bagaimanapun, dua bulan sebelum tarikh majlis, wanita tersebut membatalkan perkahwinan dengan alasan bakal suaminya “terlalu jujur” dan memiliki pendapatan rendah.

Menurut ejen pencari jodoh pasangan itu, aksi berpelukan semasa sesi fotografi dilakukan atas arahan jurugambar, bukannya kehendak peribadi pasangan tersebut. Maka tuntutan 30,000 yuan itu dianggap tidak wajar.

Selepas rundingan, wanita itu akhirnya memulangkan semula 170,500 yuan (RM397,977) kepada pihak lelaki — termasuk potongan ‘bayaran pelukan’ yang dimintanya.

Kisah ini telah ditonton lebih 23 juta kali di platform media sosial China dan menjadi antara topik paling hangat minggu ini.

Fenomena tuntutan wang hantaran dan pampasan selepas pembatalan perkahwinan semakin kerap dilaporkan di China, dengan banyak kes berakhir di mahkamah apabila pihak wanita enggan memulangkan hadiah atau wang pertunangan.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular