Ibu kepada aktivis kemanusiaan, Muhammad Abdullah, 32, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik (UMK), yang dilaporkan ditahan secara tidak sah oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) ketika menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF), berharap agar anaknya kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.
Ibunya, Nooraini Mamat, 59, berkata walaupun UMK pernah meluahkan hasrat untuk syahid di bumi Palestin, doa seorang ibu tetap agar keselamatan anaknya dipelihara.
“Sebelum berangkat, dia pernah meluahkan impian untuk berjuang membantu rakyat Gaza dan tidak menolak kemungkinan syahid di sana.
“Sejak hari pertama dia berangkat, saya tidak putus berdoa semoga Allah memelihara keselamatannya. Saya tawakal dan reda dengan sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Kuala Dura, hari ini.
Hubungan Terakhir Melalui WhatsApp
Menurut Nooraini, keluarga sentiasa mengikuti perkembangan GSF melalui media sosial selain berhubung secara langsung dengan UMK, yang juga pengasas Madrasah Darul Zahraa Wal Tahfizil Quran.
“Kali terakhir kami berhubung awal pagi semalam melalui WhatsApp. Dia minta saya doakan keselamatannya kerana katanya doa seorang ibu mustajab,” ujarnya sebak.
Aktif Sertai Misi Kemanusiaan
Nooraini berkata, ini kali pertama anaknya menyertai misi ke Gaza melalui NGO Iman Care. Namun, UMK sudah berpengalaman dalam pelbagai misi kemanusiaan sebelum ini, termasuk ke Syria, Kemboja dan Sabah.