Selepas tujuh tahun memegang amanah sebagai imam dan Pengerusi Masjid Al-Busyra, Mohd Firdaus Mat Akhir mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta pada Jumaat.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu video yang dimuat naik di media sosialnya sejurus selesai menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Beri Ruang Kepada Pelapis Baharu
Menurut Mohd Firdaus, keputusan itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia diambil dengan kesedaran bahawa kepimpinan perlu diberi ruang kepada generasi baharu.
“Saya dah tak mampu nak beri tumpuan sepenuhnya kepada pengurusan masjid. Sampai bila saya kena ada di sini. Saya adalah manusia, saya bukan boleh hidup sampai bila-bila,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Agama serta ahli jawatankuasa masjid yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perkhidmatannya.
Mohon Maaf & Infak TikTok RM42,000
Dalam pengumumannya, Mohd Firdaus memohon maaf kepada semua pihak sekiranya terdapat kesilapan sepanjang beliau memimpin masjid, sama ada dari segi perkataan, tindakan atau keputusan.
Beliau turut menegaskan komitmennya menyelesaikan beberapa urusan yang masih belum selesai, termasuk sumbangan hasil daripada platform TikTok yang diinfakkan sepenuhnya kepada masjid.
“Sejak awal masuk ke dunia TikTok, saya berjanji semua ‘gift’ yang diberikan akan saya infakkan kepada masjid. Alhamdulillah, sehingga kini lebih RM42,000 telah saya serahkan kepada Masjid Al-Busyra,” katanya.
Bistro Diserahkan Kepada Masjid
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan operasi Al-Busyra Bistro, kedai nasi Arab miliknya yang beroperasi dalam kawasan masjid, akan ditamatkan pada 12 Oktober dan diserahkan sepenuhnya untuk diuruskan pihak masjid.
“Saya ingin berterima kasih atas sokongan padu daripada jawatankuasa dan pegawai masjid. Insya-Allah, saya akan terus menyokong perjuangan ini walaupun bukan lagi sebagai pengerusi,” katanya.